Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Musim 'Raja Buah' melimpah ruah di S'pura

Jul 28, 2018 | 05:30 AM



Musim durian datang lagi tetapi jumlah yang dimport kali ini lebih banyak sehingga melimpah ruah dan sekali gus menyebabkan harga durian jatuh. Harganya yang jauh lebih murah menyaksikan warga Singapura yang 'hantu durian', berpusu-pusu ke gerai-gerai durian yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Sebahagian besar daripada pembeli memakannya begitu sahaja untuk menikmati kelazatannya dan sebahagian lagi membuat juadah berasaskan durian yang disifatkan sebagai raja buah itu. Laporan SAINI SALLEH (saini@sph.com.sg).



MUSIM durian kembali lagi - kali ini lebih murah dek musim panas yang menyebabkan raja buah itu cepat luruh.



Hampir di seluruh pelosok Singapura terdapat gerai yang menjual durian dan sekali gus mewujudkan suasana pesta durian di sini.



Ada yang beli untuk dibawa pulang, sesetengahnya tidak dapat menahan godaan isi durian yang menggiurkan, lalu membahamnya serta merta di gerai durian.



Tidak kurang pula yang menyambut hari jadi dengan belanja rakan-rakan sekerja makan durian sepuas hati.



Berdasarkan tinjauan Berita Harian, Sim Avenue - tempat buruan tradisional hantu durian - lebih meriah dengan lambakan durian dan hingar bingar para penjual yang melayan pelanggan.



Terdapat sekitar 12 gerai durian yang membarisi kiri dan kanan jalan raya tersebut yang sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang berbondong-bondong membeli buah tersebut.



Di salah sebuah gerai di situ, Hajah Saadiah Abdul Salam, 62 tahun, yang ditemani anaknya, Encik Mohd Airie Abdul Rahim, teknisyen berusia 36 tahun, dan menantunya, Cik Rashidah Rashid, jururawat berusia 34 tahun, sibuk memilih durian dengan dibantu penjual.



"Mak cik memang suka makan durian kerana rasanya yang begitu sedap... lemak, pahit dan manis.



"Bakinya mak cik buat pengat durian.. makan dengan pulut atau roti perancis," kata beliau yang datang jauh dari Bukit Panjang untuk membeli durian di gerai Wonderful Durian di Sims Avenue itu.



Cik Rashidah menyatakan, beliau membelanjakan sekitar $200 untuk membeli durian - dari jenis Musang King, D24, XO, Golden Prawn dan Red Prawn.



"Selain untuk kami sekeluarga, kami juga beli lebih kerana ada adik beradik yang pesan," tambahnya.



Menurut Hajah Saadiah, makan terlalu banyak durian boleh menyebabkan badan menjadi panas.



"Untuk elakkan badan terlalu panas, ambil kelopak durian dan tuangkan air serta sedikit garam, insya-Allah suhu badan turun dan elak berlakunya mabuk durian," tambahnya sambil berkongsi "petua orang tua-tua itu".



Bagi Encik Abdul Malek Abdullah, hari jadinya yang ke-55, disambut meriah dengan belanja rakan-rakan sekerja makan durian di Geylang, Isnin lalu.



"Saya sengaja belanja rakan-rakan kerana mereka memang hantu durian. Saya sendiri suka durian kerana rasanya yang istimewa dan sedap tiada bandingnya.



"Kalau di rumah, saya selalu turun ke bawah untuk beli durian. Selain makan begitu saja, saya juga suka durian dibuat bubur," tambahnya yang menetap di Jurong West.



Beliau membelanjakan lebih $120 untuk menjamu kumpulan seramai 10 orang itu yang begitu riang memakan durian sambil mulut komat kamit dengan menyebut kekata seperti "baik bangat", "syioknya", "puas hati" dan "mana boleh dapat sedap macam ini".



Di Pasar Chong Pang, keterujaan orang ramai terhadap durian begitu jelas kelihatan.



Harga yang ditawarkan tidak banyak beza dengan tempat-tempat lain.



Rata-rata D24 dijual $10 sebiji, durian kampung dan D13 ($20 bagi setiap tiga biji), XO (antara $10 dengan $12 sekilogram), Mao Shan Wang atau Musang King (antara $18 dengan $20 sekilogram)



Ada juga peniaga yang menawarkan $2 sebiji bagi durian bersaiz kecil.



Seorang peniaga yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Encik Tan, 58 tahun, berkata: "Persaingan sangat sengit dan bekalan durian terlalu banyak dan kerana itu para peniaga terpaksa turunkan harga.



"Durian tak boleh simpan lama dan kerana itu saya sendiri turunkan harga atau tambah dua atau tiga biji jika pelanggan beli banyak."



Encik Jaafar Kadir, 45 tahun, dari Sembawang, menyatakan beliau membelanjakan lebih $100 bagi membeli enam biji durian Musang King.



"Tahun lalu harga sekilogram antara $25 dengan $30 tapi sekarang $18 sekilogram. Ada kedai jual $15 sekilogram.



"Kita rakyat Singapura beruntung kerana mana-mana ada jual durian. Lagi sekarang harga dah turun sekitar 30 peratus, lagi berbaloi beli durian," tambahnya.



Durian yang kini "membanjiri" Singapura disebabkan meningkatnya import raja buah itu sesuai dengan hasil tuaiannya yang lebih baik dek cuaca panas sepanjang musim.



Ini berdasarkan perangkaan terbaru Penguasa Pertanian-Makanan dan Ternakan (AVA) yang menunjukkan sebanyak 8,900 tan durian segar dan sejuk diimport ke Singapura pada separuh pertama tahun ini.



Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.



Sepanjang tahun lalu, Singapura mengimport 14,300 tan durian.



Perangkaan AVA itu menunjukkan, daripada jumlah durian yang diimport setakat tahun ini, 8,300 tan berasal dari Malaysia dan baki 600 tan adalah dari Indonesia, Filipina, Thailand dan negara-negara lain.



Dari segi bilangan biji, 8,900 tan durian itu, dengan setiap biji seberat 1.5 kilogram, bersamaan dengan sekitar enam juta durian.



Para peniaga yang ditemui menyatakan, mereka mengimport lebih banyak durian kerana harganya lebih murah dan mutunya lebih baik daripada tahun sebelumnya.



Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak, dipetik media Malaysia sebagai menyatakan, penurunan harga durian ketika ini adalah disebabkan lambakan pengeluarannya berbanding tahun lalu.



"Pada tahun ini begitu banyak buah termasuk durian yang menjadi. Berdasarkan perangkaan tahun lalu, jumlah pengeluaran durian hanya 60,000 tan metrik, tetapi tahun ini 180,000 tan metrik.



"Alhamdulillah ini disebabkan faktor cuaca baik selain pengeluaran hampir serentak di beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Perak," kata beliau selepas merasmikan Program Jom Makan Buah@Masjid Negara, minggu lalu.



Menurut beliau lagi, purata harga durian Musang King adalah antara RM30 ($10) dengan RM40 ($13.40) sekilogram berbanding RM80 dengan RM100 sekilogram sebelum ini.



Durian kampung pula berharga RM7 sekilogram berbanding RM15 sebelum ini.



"Jadi harga durian di peringkat pengguna, turun hampir 100 peratus," tambahnya sambil menyatakan penurunan harga itu menjadikan buah durian yang dulunya mahal, kini mampu dimakan orang kebanyakan.




Panduan pilih durian



  • Bentuk bulat isinya besar dan tebal. Durian bujur kebiasannya isinya sedikit. Durian berbentuk lonjong pula isinya lebih manis dan sedap.

  • Ketuk buah dan pilih yang bunyinya seperti terendam. Kalau bunyinya nyaring tanda belum matang.

  • Duri pendek dan jarang-jarang. Duri terlalu tajam tanda masih muda.

  • Bau harum tanda sudah matangg - isi biasanya kuning dan manis.

  • Jangan beli durian yang sudah terbuka kulitnya kerana rasanya hambar.

  • Tangkai tebal dan pendek tanda isinya banyak.

  • Ringan tanda banyak buah dan tebal isinya.

  • Goncang perlahan-lahan. Jika rasa getaran kecil, ia bermakna isi durian sudah matang.

  • Durian yang elok ada lima pangsa dan isinya lebih banyak berbanding durian enam pangsa atau lebih.


Tempat jual durian



  • Sims Avenue - antara Lorong 7 Geylang dengan simpang Aljunied Road

  • Balestier Road dekat Hotel Hoover

  • Pasar Chong Pang dekat Yishun

  • Junction 9, Yishun Avenue 9

  • Block 211 Lorong 8 Toa Payoh

  • Pasar dan Pusat Penjaja Ghim Moh

  • Dempsey Road




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >