Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

REAKSI TERHADAP PENAHANAN BELIA RANCANG SERANG SINAGOG

Muslim dianjur jaga tempat ibadah agama lain, bukan masjid saja

Pergas, asatizah tekankan semua bentuk radikal, kezaliman ditolak dan seru pertingkat usaha cegah anak muda dipengaruhi
Mar 12, 2021 | 05:30 AM



ASATIZAH tempatan menekankan Islam melarang umatnya memusnahkan bukan masjid sahaja, malah gereja, kuil dan tempat penyembahan agama lain.



Menekankan ini dalam satu kenyataan, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) menukil ayat 40 surah Al-Haj yang bermaksud:



"Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja, dan tempat-tempat sembahyang, dan juga masjid-masjid yang sentiasa disebut banyak nama Allah padanya."



Pergas berkata demikian semasa mengulas tentang seorang belia warga Singapura berusia 20 tahun, Amirull Ali, yang dikenakan Arahan Penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang menyerang orang Yahudi di Sinagog Maghain Aboth di Waterloo Street.



Badan itu mengatakan ia amat prihatin dan memandang berat mengenai hal itu.



"Segala bentuk radikal, kezaliman serta penindasan dari mana-mana pihak tidak boleh diterima," tegas Pergas.



Naib pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, pula berkata Islam menekankan pentingnya umat Islam menjaga kesucian tempat agama termasuk gereja, sinagog dan tempat ibadah lain.



"Ini juga telah ditunjuk ajar oleh Nabi Muhammad saw melalui perbuatan baginda sendiri. Ini dapat dilihat dalam sejarah apabila Nabi Muhammad saw melindungi masyarakat Kristian di Gunung Sinai," ujar beliau.



Dalam kenyataannya, Pergas turut menarik perhatian bahawa tidak semua bangsa Yahudi dibenci Allah.



"Kita tidak ada permusuhan dengan golongan ini dan terdapat juga sebilangan mereka yang tidak memusuhi agama Islam dan berpekerti baik seperti yang disebutkan dalam ayat 113 surah Ali 'Imran yang bermaksud:



"Mereka itu tidak sama; di antara Ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu pada malam hari, sedang mereka juga bersujud (sembahyang)," kata Pergas.



Asatizah dan pengamat lain turut menarik perhatian usia muda Amirull, yang menjadi radikal sendiri.



Zamil Penyelidik Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Ustaz Remy Mahzam, berkata kes radikalisme baru-baru ini memberi cabaran hebat bagi pemerintah dan badan agama di Singapura.



Kecenderungan sebahagian golongan muda menjadi radikal melalui Internet amat membimbangkan, kata beliau, sambil menyeru lebih banyak usaha dijalankan dalam mendidik mereka.



"Radikalisasi pada usia muda ini didorong terutamanya pengaruh dan pendedahan dalam talian dan ini menimbulkan beberapa cabaran.



"Sebelum ini, seseorang itu mengambil masa sekitar 22 bulan untuk menjadi radikal tetapi dengan media sosial dan bahan ekstremis mudah didapatkan dalam talian, tempohnya boleh sesingkat sembilan bulan," kata Ustaz Remy.



Seorang kaunselor RRG, Ustazah Kalthom Isa, menyarankan lebih banyak peluang diberi kepada anak muda untuk melakukan kerja amal agar mereka dapat memberi tumpuan pada usaha membantu memperbaiki kehidupan manusia daripada mengambil jalan mudah dan memusnahkannya.



"Anak muda perlu didekati dengan pelbagai cara untuk meluaskan pemahaman mereka tentang kehidupan bersama dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama.



"Kita dapat melihat ramai anak muda ingin turut membantu menyelesaikan konflik di luar negara.



"Kini masanya untuk kita mengadakan lebih banyak dialog yang lebih tertumpu pada tindakan proaktif kerana anak-anak generasi sekarang lebih tertumpu pada langkah cepat... untuk selesaikan masalah," ujarnya.



Menyifatkan radikalisasi secara sendiri anak muda sebagai trend membimbangkan, Ustaz Dr Mohamed berkata keprihatinan mendalam dan pendekatan lebih strategik diperlukan untuk menangani cabaran ini pada jangka panjang.




"Segala bentuk radikal, kezaliman serta penindasan dari mana-mana pihak tidak boleh diterima... Kita tidak ada permusuhan dengan golongan ini (tidak semua bangsa Yahudi dibenci Tuhan) dan terdapat juga sebilangan mereka yang tidak memusuhi agama Islam dan berpekerti baik (seperti yang disebutkan dalam ayat 113 surah Ali 'Imran)."
 - Pergas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >