Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Muslim digesa terus tunjuk ihsan, keindahan Islam

Khutbah Jumaat: Insiden remaja rancang serang masjid diharap jadi iktibar bagi tingkat perpaduan masyarakat
Jan 30, 2021 | 05:30 AM



MASYARAKAT Islam di Singapura digalak agar terus menunjukkan keindahan dan kemuliaan agama Islam dan tidak membalas kebencian dengan kebencian meskipun menghadapi ujian.



Dalam khutbah solat Jumaat semalam, jemaah diingatkan untuk bersikap adil dengan beristiqamah dalam melakukan kebaikan.



Rabu lalu, masyarakat dikejutkan dengan berita seorang remaja yang merancang melakukan serangan ganas di Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak tetapi berjaya dikesan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).



Dalam khutbah yang disiapkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masyarakat Muslim juga digalak menjadikan peristiwa itu sebagai peluang untuk menguatkan persefahaman antara masyarakat Singapura.



Meskipun dikejutkan dengan berita itu, masyarakat Islam tidak harus bertindak balas dengan keganasan dan kebencian.



"Bagaimanakah seseorang Mukmin bertindak dengan adil dalam menghadapi situasi ini? Keadilan mengajak kita untuk beristiqamah dalam melakukan kebaikan, dalam berdakwah dengan kemuliaan akhlak dan pekerti, dalam meneruskan usaha untuk menunjukkan keindahan dan kemuliaan agama kita.



"Ini agar sesiapa sahaja yang masih terkeliru, ataupun tersalah faham tentang Islam, akan akhirnya nampak kebaikan dan kemuliaan agama kita melalui perbuatan, tutur kata serta sikap positif kita.



"Jika kita membalas kebencian dengan kebencian, maka suasana hanya akan menjadi lebih keruh dan jalinan hubungan dan persefahaman yang telah lama dipupuk dan dibina akan runtuh," menurut khutbah itu.



Pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lalu. Remaja India warga Singapura yang beragama Kristian Protestan itu telah membuat persiapan dan rancangan terperinci untuk menyerang jemaah dengan parang di dua masjid di sini pada 15 Mac nanti, sempena ulang tahun kedua serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand.



Remaja itu merupakan individu pertama yang ditahan di sini hasil dipengaruh ideologi pelampau sayap kanan. Dia juga individu termuda ditahan di bawah ISA bagi kegiatan berkaitan pengganasan.



Peristiwa ini menunjukkan bahaya yang dihadapi golongan muda dan remaja.



"Janganlah kita leka dan lupa untuk memerhatikan perkembangan seharian mereka. Mereka dibiarkan bersendirian meluangkan masa melungsuri Internet seharian suntuk tanpa pemantauan atau panduan.



"Kadangkala ada yang melungsuri laman yang menyebarkan ideologi-ideologi yang bermasalah. Lantas terpengaruh dengan ideologi yang tidak berasas tersebut.



"Maka mulalah berakar sifat-sifat kebencian dan prejudis terhadap kelompok atau kaum lain. Hal ini sangat berbahaya," tekan khutbah itu.



Salah seorang jemaah, Encik Muhd Heiqal Hashim, 37 tahun, yang tinggal berdekatan Masjid Assyafaah, melahirkan rasa terkejut dengan penahanan budak lelaki itu, sambil menyatakan latar belakang pengganas tidak mengenal usia atau agama mereka.



"Remaja kita mudah terpengaruh. Mereka berada di dalam dunia yang menyajikan banyak maklumat serta pengaruh dari Internet tanpa batasan. Yang penting adalah didikan yang mereka terima sejak kecil serta pergaulan mereka yang bakal mempengaruhi kepercayaan mereka,'' kata penyelia yang bekerja di sebuah firma petrokimia itu.



Bapa empat orang anak itu berharap anasir buruk itu dapat dikekang agar tidak menular dalam kalangan anak muda.



LAPORAN LANJUT: Ustaz Ali: Usah guna kejadian untuk pecah belah masyarakat




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >