Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN PENANGKAPAN DI BAWAH ISA

Muslim harus belajar agama dari sumber dan asatizah bertauliah

Nov 11, 2017 | 05:30 AM



PENGARUH media sosial yang kuat dalam menyebarkan fahaman ekstremis hingga mempengaruhi tiga individu menjadi radikal meningkatkan lagi keperluan bagi masyarakat Islam mendapatkan pengetahuan atau merujuk kemusykilan agama kepada asatizah yang mempunyai Skim Pentauliahan Asatizah (ARS).



Bahkan, pandangan tiga rakyat Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu tidak mencerminkan pandangan masyarakat Islam Singapura



Masyarakat Islam juga menolak sebarang usaha merosakkan keharmonian kaum di negara ini, menurut beberapa pemimpin masyarakat dan asatizah setempat yang dihubungi semalam.



Menekankan demikian, Angkatan Karyawan Islam (AMP) berkata pandangan radikal tiga orang itu tidak mewakili pandangan masyarakat Islam di sini dan luar negara.



AMP berharap penangkapan tersebut tidak akan menyebabkan masyarakat bukan Islam melihat orang Islam secara negatif.



"Mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Singapura adalah penting bagi masyarakat Melayu/Islam di sini dan kami menolak sebarang usaha yang boleh merosakkan keharmonian ini,'' kata AMP.



Kelmarin, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan suri rumah, Munavar Baig Amina Begam, atau Amina, 38 tahun, seorang rakyat Singapura kelahiran India; dan Abu Thalha Samad, 25 tahun, anggota Jemaah Islamiyah (JI) dikenakan Arahan Penahanan (OD) kerana terlibat dan menyokong kegiatan pengganasan.



Seorang lagi, Adzrul Azizi Bajuri, 19 tahun, bekas anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) yang menjadi penolong logistik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), pula diberi Arahan Sekatan (RO) kerana menjadi radikal setelah terpengaruh dengan propaganda ISIS dalam talian.



Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustazah Kalthom Muhammad Isa, berkata penangkapan itu menunjukkan bahawa semua peringkat umur dan latar belakang boleh terdedah kepada pengaruh radikal dan pengganasan jika mereka tidak merujuk masalah yang dihadapi kepada sumber yang benar.



Menekankan pentingnya merujuk kepada asatizah ARS, ketua pegawai eksekutif (CEO) Pergas, Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, berkata:



"Pergas berharap masyarakat dapat mengambil iktibar daripada kejadian itu agar lebih berhati-hati dalam mendapatkan sebarang maklumat daripada media sosial ataupun Internet. Sebaiknya, ia dapat disaring terlebih dahulu daripada asatizah yang bertauliah di bawah ARS.''



Pengaruh media sosial yang kuat memerlukan masyarakat agar lebih peka semasa menonton video atau syarahan dari negara lain di media sosial, kata Presiden Liga Muslim Kadayanallur Singapura, Encik Naseer Ghani.



"Kadangkala, maklumat dan video dari negara lain mempunyai unsur politik dan sejarah yang kurang kita fahami sehingga menyebabkan kita menjadi emosi apabila menontonnya. Jadi, kita harus bijak membezakan maklumat itu dengan konteks Singapura dan merujuk balik kepada Mufti, Muis atau asatizah yang mempunyai pengiktirafan ARS,'' jelas beliau.



Ustaz Yusri juga berharap semua pihak, terutama keluarga, dapat memainkan peranan proaktif dengan segera merujuk kepada pihak tertentu seperti Pergas, Muis ataupun RRG sekiranya mengesyaki perubahan pada anak mereka atau mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti radikal.



Penangkapan Amina juga menunjukkan bahawa masyarakat Singapura perlu meningkatkan integrasi rakyat baru Singapura, termasuk suri rumah, dalam kegiatan masyarakat, kata Encik Naseer.



Amina terpengaruh dengan ideologi pengganasan menerusi bahan ISIS yang dikongsi kenalan asingnya dalam talian, mengongsi bahan mempromosikan pengganasan dan bersedia berjuang bersama ISIS di Timur Tengah.



"Kita tidak boleh fikir suri rumah yang duduk di rumah tidak terpengaruh dengan anasir radikal. Mereka mempunyai lebih banyak masa di rumah untuk melungsur media sosial. Jadi, kita perlu sertakan mereka dalam kegiatan yang mengintegrasikan rakyat baru,'' kata beliau.



Bersetuju, Ustazah Kalthom menyatakan bahawa peranan wanita dalam gerakan pengganasan tidak boleh diambil mudah kerana ada juga wanita yang tertarik mahu menyertai ISIS.



Menyentuh mengenai penangkapan anggota JI, Abu Thalha, beliau berkata sebelum ini terdapat tanggapan bahawa rangkaian JI sudah menjadi sejarah.



Namun, penangkapan terbaru itu menunjukkan bahawa pengaruh JI dalam masyarakat setempat dan luar negara masih ada.



Abu Thalha telah mengajar di sebuah sekolah berkaitan JI di sebuah negara serantau yang tidak dinamakan MHA dan menjadi anggota jawatankuasa JI bagi menarik bakat pelajar menjadi anggota JI.



MHA bekerjasama dengan pemerintah dari negara itu yang menghantarnya pulang ke Singapura.




Masyarakat perlukan sokongan dan bimbingan



"Tiga kes baru yang menjadikan dirinya radikal itu satu peringatan bahawa masyarakat memerlukan sokongan dan bimbingan daripada sumber agama yang boleh dipercayai. Kita tidak boleh meremehkan pengaruh sumber dalam talian. Adzrul menjadi radikal kerana pendedahan berterusan kepada bahan dan video pro-ISIS dalam talian. Amina, seorang suri rumah, menjadi radikal oleh kenalan asing dalam talian. Dia mengongsi bahan mempromosikan pengganasan dalam media sosial bagi mempengaruhi orang lain agar menyokong ISIS.



Saya menggesa masyarakat Muslim di Singapura agar mendapatkan pengetahuan agama daripada asatizah ARS dan bijak menilai apa yang mereka lihat di dalam Internet. Sama ada dalam talian atau dalam masyarakat setempat, kita harus terus menjaga satu sama lain dan meminta bantuan Muis, RRG atau polis jika kita melihat tanda-tanda radikalisme dalam diri rakan atau orang yang kita sayangi. Jika kita tidak membantu mereka, kita akan membahayakan mereka dan masyarakat dan mereka boleh menjadi ancaman jika bertindak berdasarkan fahaman mereka yang sesat."



- Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >