PENGALAMAN meluas perniagaan di sekitar Kampong Glam akan dirai dan didokumentasikan menerusi satu skim baru yang diberi nama Galeri Warisan Sudut Jalanan Lembaga Warisan Negara (NHB).
Dilancarkan semalam, galeri itu akan mengetengahkan tujuh kedai dan perniagaan di sekitar kawasan Kampong Glam.
Di bawah skim itu, NHB bekerjasama rapat dengan pemilik kedai setempat yang mempunyai sekurang-kurangnya sejarah lebih tiga dekad untuk menghasilkan bersama "muzium mini" yang menonjolkan warisan dan sejarah perniagaan tersebut.
Galeri itu akan menampilkan dokumen sejarah, gambar dan artifak yang menceritakan kisah perniagaan tersebut yang jarang diketahui ramai.
Antara yang menyertainya ialah Jamal Kazura Aromatics, Bhai Sarbat Singapore, Sin Hin Chuan Kee dan V.S.S. Varusai Mohamed & Sons.
Tiga kedai makanan popular Rumah Makan Minang, Sabar Menanti Nasi Padang dan Warong Nasi Pariaman turut serta dalam inisiatif itu.
Galeri Warisan Sudut Jalanan merupakan usaha berterusan di bawah Pelan Warisan SG untuk memperkukuh kerjasama dengan masyarakat selain meningkatkan kesedaran dan memupuk penghargaan lebih mendalam bagi warisan di ruang-ruang harian.