SATU-SATUNYA muzium sejarah semula jadi Singapura mungkin menempatkan lebih sejuta haiwan yang sudah mati serta artifak purba tetapi ketua barunya mahu 'menghidupkan' tempat itu bagi warga setempat.
Bagaimana? Dengan memaparkan kisah dan rahsia di sebalik spesimen, yang ada di antaranya berusia lebih dua abad, menerusi lawatan maya, teknologi realiti terimbuh (AR) dan program pendekatan bersama sekolah.
"Apabila orang ramai memikirkan sebuah muzium yang mengandungi sejarah semula jadi, mereka selalunya hanya membayangkan spesimen yang sudah mati," Profesor Madya Darren Yeo dari Universiti Nasional Singapura (NUS) yang mengambil alih Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian bulan ini.
"Tetapi sejarah semula jadi ialah sejarah kehidupan. Spesimen ini mengandungi banyak kisah untuk ditemui dan dihayati," tambah ahli ekologi air tawar itu.
Beliau berkata spesimen dari Singapura juga boleh memberi maklumat mengenai masa lalu negara.
Profesor Yeo, 50 tahun, yang pertama kali menyertai muzium tersebut pada 2001 sebagai pegawai penyelidikan dan kemudian pada 2019 sebagai timbalan pengetua, berkata bahawa melangkah ke depan, muzium tersebut berharap dapat menonjolkan kisah di sebalik spesimen dengan meluaskan himpunan alat jangkauannya yang sedia ada.
Contohnya, pada 2021, muzium tersebut melancarkan LKCNHM AR - aplikasi mudah alih yang menggunakan teknologi realiti terimbuh untuk menyediakan pengalaman membolehkan pengunjung menjiwai dan melihat pameran khusus seperti fosil dinosaur sauropad dalam keadaan sebenarnya sambil berinteraksi dengannya, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Profesor Yeo berkata muzium tujuh tingkat itu, di kampus NUS Kent Ridge, boleh menjadi tempat yang mencetus minat kepada hutan Asia Tenggara, rantau yang kaya dengan hutan belantara, tanah lembah (wetlands) dan laut, tempat tinggal banyak makhluk yang tidak boleh ditemui di tempat lain di dunia.
"Disebabkan tempat kita berada, saya rasa mungkin kita tidak begitu dikenali, mudah diakses, atau dengan segera timbul dalam radar orang ramai apabila mereka tidak tahu ke mana hendak pergi," kata Profesor Yeo.
Beliau merancang mempertingkat program pendidikan biodiversiti muzium tersebut, termasuk bengkel dan lawatan berpandu, yang menyasarkan pelajar dan anggota awam - dengan harapan dapat menjadikan pembelajaran mengenai biodiversiti rantau ini lebih mempunyai kaitan.
Profesor Yeo berkata beliau juga ingin melihat muzium tersebut berkembang terus - bukan sahaja dari segi usaha pendekatan dan penyelidikannya, malah dari segi saiz fizikal.
"Dengan ruang sekeliling yang terhad, muzium ini berharap dapat berkembang secara menegak dengan menambah lebih banyak tingkat bersebelahan bangunan muzium ikonik berbentuk batu itu," tambahnya.
Profesor Peter Ng, ketua pengasas dan bekas ketua muzium itu, berkata:
"Saya harap muzium itu terus melaksanakan misinya iaitu bukan hanya menjadi pusat serantau untuk sumber dan penyelidikan biodiversiti, bahkan meluaskan pengetahuan kita mengenai biodiversiti Asia Tenggara yang kaya."