Muzium Tamadun Asia pamer 240 objek milik Raffles, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

BICENTENNIAL SINGAPURA

Muzium Tamadun Asia pamer 240 objek milik Raffles

Feb 03, 2019 | 05:30 AM

SEBANYAK 240 objek milik koleksi Sir Thomas Stamford Raffles kini boleh diamati di Muzium Tamadun Asia (ACM).

Dinamakan Raffles In Southeast Asia: Revisiting The Scholar and Statesman, pameran utama dan pertama acara memperingati 200 tahun Singapura, Bicentennial Singapura, telah dibuka kelmarin.

Pameran itu mengajak orang ramai meneroka pelbagai peranan yang dimainkan Raffles sewaktu beliau di Singapura sambil juga memahami kekayaan warisan seni dan budaya orang Jawa dan Dunia Melayu.

Pengarah ACM, Encik Kennie Ting, berkata pameran yang mengakhiri tahun Asia Tenggara ACM itu dapat mengilhamkan pengunjung agar pertimbangkan semula apa yang mereka ketahui mengenai rantau ini dan kaitan Singapura dengannya, yang melebihi peristiwa pada 1819.

"Menariknya, pameran ini melihat Raffles daripada pelbagai sudut yang berbeza. Lantas, ia bolehkan mereka memutuskan sendiri siapa dan apa yang melambangkan Raffles di negara ini," ujarnya.

Discover Malay Home Based Businesses

Artifak yang dipamerkan di muzium itu memerlukan kerjasama 14 institusi terkenal antarabangsa seperti Muzium Nasional Indonesia, Perpustakaan Universiti Leiden di Belanda dan Muzium Negara Singapura serta pengumpul peribadi.

Muzium British yang memiliki kira-kira 2,000 objek berkaitan pengasas Singapura moden itu meminjamkan 158 artifak daripada koleksinya untuk dipamerkan di ACM itu.

Mengambil dua tahun dihasilkan, pameran itu disusun oleh kurator Asia Tenggara Muzium British, Cik Alexandra Green, bersama kurator kanan Asia Tenggara ACM, Dr Stephen Murphy, dan penolong kurator ACM, Cik Naomi Wang.

Cik Wang, 29 tahun, berkata idea memaparkan objek yang dikumpul Raffles bersama barangan Orang Asli bertujuan mencetuskan dialog mengenai peranan Raffles di Asia Tenggara.

Usaha ACM itu juga diharap dapat mempromosikan lebih banyak kesedaran mengenai konteks koleksi penjajah tersebut.

"Pameran ini memberikan kita peluang yang baik melihat barangan yang dikumpul Raffles demi memahami pemikiran dan motivasinya," ujarnya.

Pameran tersebut memilih potret Raffles yang menggambarkan beliau seorang cendekiawan sebagai artifak pertamanya.

Potret itu dipamerkan bersebelahan artifak patung dewa Mamaki, yang lukisannya juga boleh dilihat dalam potret Raffles.

"Kami mahu melihat bagaimana maklumat ditapis dan juga biasnya. Banyak pameran yang berunsurkan koleksi penjajah sering melupakan konteks bagaimana artifak ini dikumpulkan dan itu sangat penting," jelas Cik Wang.

Patung dewa itu merupakan pasangan wanita bagi salah seorang daripada lima Buddha Tantric.

Ukiran yang berasal daripada Candi Jago, Jawa Timur di Indonesia ini dipercayai dikumpul Raffles dari sebuah kuil di sana pada 1815.

Selain itu, kertas tulisan lama yang mendokumentasikan kewujudan Raffles di rantau ini juga ditampilkan di pameran itu.

Ini termasuk surat terakhir Sultan Mahmud Ri'ayat Syah dari Kepulauan Riau-Lingga berhubung dengan Raffles pada 1811.

Surat itu menuliskan persetujuan Sultan Mahmud menghantar kapal perang bersenjata bagi ekspedisi British ke Jawa yang diminta Raffles.

Tidak lama selepas menulis surat itu, Sultan Mahmud mangkat, tanpa melantik seorang pengganti.

Raffles memanfaatkan kemangkatan sultan itu dengan menubuhkan sebuah jawatan perdagangan British di Singapura.

"Setiap objek menceritakan sebuah kisah. Kami menjemput orang ramai ke pameran ini bagi membuat kesimpulan sendiri tentang watak kompleks bernama Raffles," kata Pengerusi Muzium British, Sir Richard Lambert.

Pameran Raffles in Southeast Asia: Revisiting the Scholar and the Statesman dibuka dari kelmarin hingga 28 April ini.

Tiket masuk berharga $12 untuk warga Singapura dan penduduk tetap, dan $20 bagi warga asing.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map