Myanmar perlu bincang secara aman bagi hurai kemelut politik: PM Lee, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:06
Asar
4:19
Maghrib
7:11
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Myanmar perlu bincang secara aman bagi hurai kemelut politik: PM Lee

Mar 03, 2021 | 05:30 AM

PIHAK tentera dan pemerintah Myanmar yang dipilih secara demokratik perlu berbincang secara aman untuk menghuraikan kemelut dalam negara, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Beliau turut melahirkan harapan agar ia akan berakhir dengan penyelesaian yang dibuat dengan bijaksana, seperti yang berlaku pada masa lalu apabila tentera merumuskan bahawa laluan ketenteraan tidak akan menghasilkan apa-apa.

Encik Lee memberi pandangannya mengenai kemelut di Myanmar dalam satu temuramah dengan saluran televisyen British Broadcasting Corporation (BBC) dalam program 'Talking Business Asia', yang bakal disiarkan pada 14 Mac nanti.

Kemelut politik di negara itu telah mencetuskan bantahan di seluruh Myanmar dengan sekurang-kurangnya 21 penunjuk perasaan telah terkorban.

Rampasan kuasa pada 1 Februari menghambat usaha Myanmar mencapai demokrasi selepas 50 tahun pemerintahan tentera dan menarik kritikan sejagat manakala keprihatinan meningkat dalam kalangan negara jiran.

Berita Popular

Semasa ditanya pendapat beliau tentang kemelut politik di Myanmar, Encik Lee berkata ia satu keadaan yang tragik.

Ini kerana setelah mengharungi perjalanan dan usaha untuk menubuhkan pemerintah awam, walau dengan pengaruh tentera dalam sistem, dan kini pihak tentera mengambil alih semula - sama ada mengikut atau tidak mengikut perlembagaan - ia adalah langkah tragik ke belakang, jelas Encik Lee.

"Sebab tidak ada masa depan dengan cara ini. Mereka sedar tentang ini, sebab itu mereka menjalankan pengundian dan sebuah pemerintahan awam.

"Menggunakan kekerasan yang membahayakan terhadap orang awam dan penunjuk perasaan tidak bersenjata, saya fikir ia bukan hanya tidak boleh diterima.

"Ia akan membawa bencana bukan sahaja di peringkat antarabangsa tetapi secara dalam negeri kerana ia bermakna orang awam, dan semua orang di Myanmar tahu... Jika mereka putuskan yang pemerintah tidak berpihak dengan mereka, saya fikir pemerintah mempunyai masalah yang sangat besar," ujar beliau.

Encik Lee juga menggesa agar Cik Suu Kyi, pemimpin parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi, yang kini ditahan, dibebaskan dan rundingan dijalankan dengan beliau dan pasukannya.

Mengenai mengapa Singapura belum lagi mengenakan sekatan, Encik Lee berkata orang luar mempunyai sedikit pengaruh dalam hal ini.

"Anda boleh meminggirkan, mengutuk mereka dan meluluskan resolusi atau tidak, tetapi ia tidak mempunyai banyak pengaruh ke atas apa yang dilakukan Myanmar.

"Ia mempunyai sifar pengaruh pada masa lalu, dan kesannya hanyalah, apabila terdapat kekurangan pihak (lain) yang bersedia untuk berbincang dengan mereka, mereka akan bergantung kepada pihak yang bersedia berbual dengan mereka iaitu China dan pada satu peringkat, India," terangnya.

Ini menimbulkan kedudukan kurang selesa untuk mereka tetapi tidak mendorong mereka untuk memutuskan tindakan yang dimahukan oleh negara lain, termasuk Asean.

Tambah Encik Lee, Singapura perlu menolak keadaan yang bercanggah dengan nilai-nilai banyak negara dan nilai kemanusiaan.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map