SEORANG jemaah Singapura yang sedang menunaikan umrah terkorban manakala beberapa lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Makkah.
Mengesahkan kejadian itu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan berkata bas tersebut sedang membawa jemaah yang diurus syarikat, Abu Bakar Travel Services.
Seorang pegawai syarikat itu mengesahkan kepada Berita Harian bahawa pengarah syarikat pelancongan itu, Ustaz Mohd Abu Bakar Osman, terkorban dalam kemalangan tersebut.
Menurut Muis, bas yang membawa 31 penumpang itu terlibat dalam kemalangan tersebut antara 8.30 hingga 9 pagi waktu di Arab Saudi atau antara 1 hingga 1.30 petang waktu Singapura.
Muis sedang bekerjasama dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk membantu jemaah yang terjejas, kata kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dalam catatan di Facebook berkata beliau amat sedih dengan berita kemalangan itu.
Beliau berkata Muis dan MFA sedang melakukan sedaya mungkin untuk memberi bantuan yang diperlukan kepada jemaah yang terlibat dan keluarga mereka.
Berita Harian sedang berusaha mendapat keterangan lanjut mengenai insiden ini.