Seorang penumpang wanita berusia 26 tahun yang terlibat dalam kemalangan Seletar West Link di mana sebuah kereta terbelah dua telah meninggal dunia, kata polis pada Selasa.
Beliau merupakan mangsa kedua yang terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada awal pagi 11 Ogos itu.
Pada masa itu, beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila dibawa ke hospital.
Seorang penumpang lelaki, berusia 26 tahun, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Dalam rakaman video yang tular di media sosial, kereta itu kelihatan terbelah dua.
Menurut akhbar Lianhe Zaobao, penumpang berusia 26 tahun itu dipercayai tercampak keluar daripada kereta hitam tersebut.
Dalam jawapan kepada Berita Harian, polis berkata kereta itu dipercayai telah terbabas dengan sendiri di jalan susur Ekspreswe Central (CTE) dan Ekspreswe Seletar (SLE) menghala ke Seletar West Link.
Polis dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada 12.10 pagi 11 Ogos.
Polis berkata pemandu kereta berusia 26 tahun berada dalam keadaan sedar apabila dibawa ke hospital.
Siasatan masih dijalankan, kata polis.