Nahas, mangsa dan tangkapan dek pandu ketika mabuk berkurangan

JUMLAH kemalangan, mangsa dan tangkapan akibat kemalangan yang ada kaitan dengan memandu dalam keadaan mabuk berkurangan pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut statistik Polis Trafik.

Kemalangan serupa itu berkurangan daripada 81 sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu kepada 70 dalam tempoh sama tahun ini, dengan jumlah kematian berkurangan daripada lapan kepada tiga walaupun kecederaan meningkat daripada 102 kepada 109.

Seramai 1,042 orang ditangkap berkaitan memandu dalam keadaan mabuk pada separuh pertama tahun ini, berbanding 1,267 sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Angka terkini itu sebahagian daripada trend lebih besar, dengan tangkapan berkurangan daripada 3,019 pada 2013 kepada 2,303 tahun lalu.

"Terdapat pengurangan berterusan dalam angka-angka itu kerana pendekatan serampang tiga mata polis trafik ke arah perbuatan memandu dalam keadaan mabuk - pendidikan, pelibatan dan penguatkuasa. Orang ramai lebih bertanggungjawab sekarang," kata ketua operasi Polis Trafik, Superintenden Ho Yenn Dar.

Beliau menambah bahawa polis trafik melihat lebih ramai orang mendapatkan perkhidmatan valet atau menaiki teksi dan tidak memandu apabila mereka keluar untuk minum.

Pihak berkuasa juga menjalankan operasi antimemandu dalam keadaan mabuk, katanya. Operasi lebih besar melibatkan pusat ujian penganalisis nafas mudah alih, yang dilancarkan April tahun lepas dan memendekkan masa yang diperlukan bagi mendapatkan keputusan ujian tepat daripada pemandu yang disyaki melebihi had undang-undang alkohol.

Seramai 77 pemandu ditahan dan diuji di beberapa sekatan jalan raya pada awal pagi Khamis (20 Okt).

Akibatnya, 15 lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 dan 58 tahun ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Jika sabit kesalahan, mereka akan diharamkan memandu sekurang-kurangnya 12 bulan. Pesalah kali pertama boleh didenda antara $1,000 dan $5,000 dan lesen mereka boleh digantung hingga 48 bulan.

Pesalah berulang boleh didenda maksimum $30,000 dan penjara hingga tiga tahun dan sebat enam kali.

Waktu Solat

Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:14
Isyak
8:29
3 HR PSI: 26
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.