MULAI Khamis ini (4 April), orang ramai boleh menggunakan kad bank tanpa sentuhan (contactless) Mastercard atau telefon bimbit bijak mereka untuk membayar tambang pengangkutan awam.
Ini dapat dilakukan menerusi inisiatif SimplyGo yang dilancarkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
LTA dalam kenyataannya semalam berkata inisiatif itu akan bermula dengan Mastercard, dengan Visa dijangka menyertai SimplyGo lewat tahun ini.
Di bawah inisiatif itu, penumpang hanya perlu menyentuh (tap) kad bank tanpa sentuhan Mastercard mereka di gantri stesen kereta api atau apabila naik dan turun bas.
Ini bermakna penumpang tidak lagi perlu membawa kad perjalanan berasingan atau membuat tokokan tambang sebelum menaiki pengangkutan awam.
Orang ramai dinasihatkan agar mengeluarkan kad yang ingin digunakan daripada dompet mereka jika mereka mempunyai lebih daripada satu kad bank tanpa sentuhan atau kad perjalanan.
Ini supaya tambang duplikasi tidak dikenakan pada kad-kad tersebut.