SEKOLAH Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU) akan dinamakan semula sebagai Sekolah Undang-Undang Yong Pung How mulai 11 April tahun ini.
Tarikh itu dipilih kerana ia adalah sempena hari hakim besar kedua dan canselor ketiga SMU, Dr Yong, mencecah usia 95 tahun, jika hayatnya masih ada.
Mendiang Dr Yong meninggal dunia pada usia 93 tahun pada Januari 2020.
Dalam satu kenyataannya pada Selasa (9 Mac), SMU berkata sekolah itu rasa terhutang budi pada visi dan bimbingan Dr Yong, dengan beliau memainkan peranan penting dalam membangun Sekolah Undang-Undang itu dan kurikulumnya.
“SMU beruntung mempunyai kaitan yang panjang dan mendalam dengan Dr Yong Pung How,” kata Pengerusi SMU, Encik Ho Kwon Ping.
Menurutnya, Dr Yong adalah lambang kuasa kebijaksanaan dan warisannya akan terus mencorak secara positif perkembangan universiti itu dan Sekolah Undang-Undangnya.
Selain peranannya sebagai canselor, Dr Yong juga berkhidmat sebagai procanselor universiti itu dan merupakan pengerusi pengasas lembaga penasihat sekolah undang-undang serta felow yang diiktiraf antara 2006 dengan 2020.
Selama 16 tahun sebagai hakim besar Singapura, Dr Yong melaksanakan perubahan besar dalam memanfaatkan teknologi bagi mengubah suai keberkesanan sistem mahkamah.