SEHINGGA 26,000 boleh menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di pentas terapung Marina Bay tahun ini, acara skala besar peringkat nasional pertama yang diadakan sejak pandemik menular dua tahun lalu.
Perbarisan yang bakal diadakan di Float@Marina Bay itu adalah acara kemuncak bagi meraikan ulang tahun ke-57 negara, menyusuli lima acara perayaan di kawasan kejiranan yang akan diadakan pada 6-7 Ogos, iaitu hujung minggu sebelum 9 Ogos (Selasa) nanti.
Float@Marina Bay boleh menempatkan sehingga 26,000 orang.
Selain NDP pada 9 Ogos, ada juga dua pratonton NDP bagi pihak awam.
Menurut penganjur NDP 2022, butiran bagi tiket NDP dan acara pratonton akan diumumkan tidak lama lagi.
Selain itu, murid darjah 5 juga akan diundang untuk menyaksikan persembahan Pendidikan Kebangsaan (NE).
Dalam kenyataannya pada 2 Jun, penganjur NDP 2022 berkata semua enam lokasi bagi perayaan ulang tahun Singapura itu akan memuatkan pertunjukan bunga api - yang telah menjadi acara mercu tanda NDP saban tahun.
Di setiap lokasi, warga Singapura dan keluarga mereka akan dapat menikmati persembahan dan kegiatan, serta melihat pameran dan pertunjukan statik platform oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team.
Ini juga sejajar dengan sambutan ulang tahun perkhidmatan negara yang ke-55.
Sebagai contoh, pada 7 Ogos, pasukan payung terjun dari Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) Red Lions akan melakukan aksi terjun di dua kawasan kejiranan.
Meyusuli itu, pada 9 Ogos, bendera negara akan diterbangkan helikopter Chinook mengelilingi pulau, sementara pesawat pejuang F-16 akan membelah langit di beberapa lokasi.