PERBARISAN Hari Kebangsaan (NDP) tahun depan (2023) akan diadakan di Padang dengan perbarisan tahun ini adalah yang terakhir diadakan di platform terapung Marina Bay, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, pada Sabtu (9 Julai).
Beliau memberitahu wartawan selepas raptai NDP bahawa beliau berharap NDP mendatang akan diadakan di Stadium Negara, sebelum NS Square, lokasi tetap NDP, akan menggantikan platform terapung - dan siap menjelang penghujung 2026.
"Bagi tahun depan, kami akan mengadakannya di Padang dan selepas itu, saya ingin mengadakannya di Stadium Negara.
"Memandangkan pengurusannya kini lebih dijangka dan kian mantap, saya fikir kita akan dapat melakukannya.
"Justeru, saya menanti-nantikan lebih banyak NDP yang warga Singapura boleh raikan bersama," katanya.
Kerja pembangunan semula bagi NS Square yang tetap dijadualkan akan bermula Mac depan.
Platform terapung dibina pada 2007 sebagai tapak NDP sementara sementara Stadium Negara melalui kerja pembinaan.
Sejak itu, ia telah menjadi tapak NDP yang dikenali dalam kalangan orang ramai kerana pemandangan tepi lautnya serta keupayaannya menggabungkan unsur udara, darat dan laut.
Selain NDP, platform terapung ini juga adalah lokasi bagi acara besar-besaran dan beramai-ramai seperti perbarisan tamat latihan ketenteraan asas, pesta menghitung masa menanti Tahun Baru dan sambutan River Hongbao.
NDP terakhir di Padang adalah pada 2019.