Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

HARI SAF

NDP bakal diadakan secara fizikal tahun ini

Jul 01, 2021 | 05:30 AM



PERBARISAN Hari Kebangsaan (NDP) akan kembali diadakan secara fizikal tahun ini di platform terapung Marina Bay, kata Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen.



Namun, di sebalik itu, jumlah peserta yang terlibat dan penonton yang menghadiri perbarisan pada 9 Ogos nanti akan dikurangkan, sejajar dengan langkah pengurusan selamat yang ditetapkan.



"Kita tidak boleh menjangkakan seramai 25,000 orang sewaktu tempoh Covid-19 ini. Ia akan dikurangkan dengan sewajarnya, dengan jumlah tersebut akan ditentukan lagi," kata Dr Ng.



Beliau membuat pengumuman tersebut ketika wawancara bersama media sempena Hari SAF.



Keputusan yang diambil ini sejajar dengan langkah Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengalihkan tumpuannya untuk beroperasi dalam persekitaran endemik.



Ia juga selaras dengan pendekatan tiga serampang yang dikuatkuasakan SAF bagi mengadakan semula latihan dan acara kebangsaan besar dalam suasana norma baru.



Tahun lalu, sambutan NDP diadakan dalam format teragih, termasuk perbarisan waktu pagi di Padang.



Berikutan itu, segmen NDP seperti pertunjukan Terbang Lalu Bendera Negara, Perarakan Kenderaan, Singa Merah dan Tembak Hormat Presiden 21 Das telah dibawa ke estet-estet kejiranan.



Menutup tirai sambutan, persembahan waktu malam di Star Vista dengan jumlah peserta yang kurang daripada biasa juga telah diadakan.



Menurut Dr Ng, NDP tahun ini akan memaparkan semula segmen berpusat seperti segmen Perbarisan dan Upacara dan persembahan.



Selain itu, sambutan di bandar-bandar utama juga akan dianjurkan, tambah beliau.



Perincian lanjut acara akan dikongsikan jawatankuasa eksekutif dalam masa terdekat.



Meskipun akan diadakan di tengah-tengah ketidakpastian Covid-19 ini, Dr Ng berkata mereka menitik beratkan keselamatan setiap para peserta dan penonton yang akan hadir di platform terapung Marina Bay.



Justeru, pihak penganjur akan memastikan setiap peserta dan penonton telahpun mendapatkan suntikan dua dos vaksinasi selain menjalani ujian pra-acara.



Bagi mengurangkan risiko pendedahan antara peserta, jumlah latihan fizikal juga telah dikurangkan, dengan latihan maya dilakukan sepanjang tempoh Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat).



Dr Ng berkata: "Peserta NDP sebenarnya sudah mula berlatih dalam kumpulan yang berasingan. Mereka semua telah mendapatkan vaksinasi penuh.



"Di samping itu, mereka juga perlu menjalani ujian rutin, seperti sebelum setiap latihan, mereka akan menjalani ujian pantas antigen (ART) bagi memastikan mereka diuji negatif."



Dengan itu, beliau berharap dengan kerjasama rakyat Singapura, sambutan NDP dapat sekali lagi dianjurkan namun dengan langkah pengurusan selamat yang lebih ketat.



"Kami percaya bahawa 9 Ogos adalah kesempatan yang baik, kerana kita mungkin akan hidup dengan penyakit ini.



"Kami tidak mempunyai banyak waktu untuk membuat persiapan, tetapi setiap warga Singapura dapat menggunakan kesempatan ini untuk mengesahkan bersama apa yang amat dihargai tentang Singapura.



"Oleh itu, kami berharap NDP akan membangkitkan semangat, memberi dorongan dan memberi kita perspektif yang lebih luas kerana ini adalah tahun yang sukar, satu setengah tahun. Saya rasa dengan sokongan dan bantuan rakyat Singapura, kita boleh mencapainya," kata Dr Ng.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >