Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

NEA, AVA tingkat usaha pantau, bantu pengendali elak keracunan makanan

Jan 15, 2019 | 05:30 AM



AGENSI Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Pertanian-Makanan dan Ternakan (AVA) telah mempertingkat pengawasan dan penguatkuasaan ke atas semua pengendali makanan, kata Menteri Negara Kanan (Sekitaran dan Sumber Air merangkap Kesihatan), Dr Amy Khor.



Ini bagi memastikan mereka mengikut amalan kebersihan dan keselamatan makanan yang baik.



Tambahnya, NEA dan AVA juga telah berusaha mengukuhkan rangka kerja kawal selia bagi pengendali makanan secara keseluruhan.



Sedang NEA terus memantau pengendali makanan di sini dengan rapat, beliau berkata pemerintah bersedia meningkatkan penguatkuasaan lagi jika perlu.



Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen antara lain berhubung penguatkuasaan dan langkah yang diambil menyusuli beberapa kes keracunan makanan baru-baru ini.



Antara Oktober dengan Disember lalu, terdapat lima kes keracunan makanan yang telah dilapor melibatkan Team Catering Pte Ltd, Tung Lok Catering, FoodTalks Caterer & Manufacturer, Restoran Spize @ River Valley dan Hotel Mandarin Orchard.



Dr Khor berkata NEA telah mengambil tindakan tegas terhadap pengendali makanan yang telah melanggar undang-undang.



Sebagai contoh, lesen operasi Restoran Spize @ River Valley telah dibatalkan dan NEA juga akan mendakwa pengendali makanan itu di mahkamah.



Lesen operasi Tung Lok serta ballroom dan dapur yang terjejas di Hotel Mandarin Orchard akan terus digantung sehingga mereka menurut keperluan yang ditetapkan NEA.



Sementara itu, NEA juga akan menyaman FoodTalks.



Dr Khor turut berkata NEA telah menjalankan lebih 2,400 pemeriksaan rutin ke atas katerer makanan tahun lalu dan tambahan lebih 900 pemeriksaan ke atas katerer makanan sejak bulan lalu.



Menjawab pertanyaan Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar) sama ada pemeriksaan yang tidak diumum turut dijalankan, Dr Khor berkata sebanyak 77,000 pemeriksaan telah dijalankan ke atas pengendali makanan secara keseluruhan tahun lalu.



Ini bukan sahaja bagi pembaharuan lesen tetapi juga termasuk pemeriksaan yang tidak diumum.



Tambahnya, pendekatan berdasarkan risiko telah diambil, dengan pemeriksaan lebih kerap dijalankan ke atas pengendali yang berisiko lebih tinggi, atau mereka yang menyediakan makanan bagi ramai orang dan jumlah makanan yang besar.



Cik Rahayu Mahzam (GRC Jurong) pula ingin tahu tentang usaha yang dijalankan bagi mempertingkat latihan bagi pekerja dan memastikan pengendalian secara konsisten.



Dr Khor berkata pemerintah memandang serius semua pekerja yang berurusan dengan makanan harus selesai menjalani kursus asas dalam kebersihan makanan dan berdaftar sebelum dibenarkan menguruskan makanan di tempat yang berlesen.



"Kami memandang serius isu pekerja mengurus makanan yang tidak berdaftar. Di bawah sistem mata demerit, kesalahan sedemikian dianggap amat serius.



"Kami juga sedang menyemak kurikulum latihan bagi pekerja yang mengurus makanan di bawah kursus asas kebersihan makanan," ujarnya.



Tambahnya, syarikat yang mempunyai lesen bagi menyediakan khidmat katering makanan harus mempunyai Pegawai Kebersihan Makanan (FHO).



Malah sejak 21 Disember lalu, NEA memerlukan kakitangan yang dilantik sebagai FHO di tempat makanan yang digantung NEA menjalani latihan dan mendapat pensijilan semula sebelum mereka boleh menyambung operasi.



Dalam usaha mengukuhkan rangka kerja kawal selia bagi pengendali makanan secara keseluruhan, beliau berkata penalti bagi pengendali makanan yang terlibat dalam kes keracunan makanan yang besar akan ditingkatkan.



Jumlah denda juga akan ditingkatkan manakala mereka yang melakukan kesalahan kebersihan yang serius akan didakwa di mahkamah.



Meskipun terdapat rejim kawal selia yang ketat, Dr Khor berkata pada akhirnya, pengendali makanan yang memikul tanggungjawab menyediakan makanan yang selamat dan bersih bagi pelanggan mereka.



"Mereka harus memastikan kedai makan mereka bersih dan mereka yang mengurus makanan mengamalkan kebersihan serta memastikan makanan yang disiapkan itu selamat dimakan.



"Saya menggesa semua pengendali makanan melatih kakitangan mereka tentang amalan kebersihan yang betul dan mengambil langkah keselamatan makanan yang mencukupi," ujarnya.



Ini termasuk langkah memantau operasi di dapur dengan lebih baik seperti menggunakan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) atau menjalankan pemeriksaan yang kerap.



Menjawab pertanyaan Cik Rahayu Mahzam sama ada pegawai dilengkapi dengan teknologi untuk menjalankan tugas dengan lebih cekap dan berkesan, Dr Khor berkata NEA telah melengkapi pegawai mereka dengan tablet dan teknologi lain antara lain untuk merancang pemeriksaan dan mendapat maklumat tentang insiden berkaitan makanan dengan cepat.



Selain mempertingkat laman web NEA dan aplikasi myENV agar orang ramai dapat memeriksa rekod kebersihan pengendali makanan dengan lebih mudah, Dr Khor berkata pemerintah juga sedang mengkaji cara lebih baik untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang penggantungan lesen pengendali makanan.



Isu keracunan makanan menerima sorotan umum baru-baru ini menyusuli beberapa kes berprofil tinggi di beberapa restoran popular yang menjejas hampir 600 orang.



Sebagai contoh, seramai 80 orang terjejas ekoran kes keracunan makanan melibatkan restoran Spize di River Valley Road, seorang daripadanya meninggal dunia.



Lebih 130 orang termasuk kanak-kanak Tadika 2 dan guru sakit selepas makan makanan daripada syarikat katering FoodTalks Caterer & Manufacturer.



Lagi 190 orang jatuh sakit selepas makan makanan yang disiapkan TungLok Catering di Max Atria, Singapore Expo, dalam satu acara SCDF.



Dan lebih 170 orang sakit selepas hadir empat acara berbeza di Hotel Mandarin Orchard.




"Lebih banyak (katerer makanan) mungkin menyumber luar khidmat penghantaran makanan mereka dan kami terus mengkaji hal ini untuk melihat bagaimana kami boleh mengukuhkan rangka kerja kawal selia secara keseluruhan bagi katerer makanan."
- Menteri Negara Kanan (Sekitaran dan Sumber Air merangkap Kesihatan) Dr Amy Khor.



"Saya ingin tahu sama ada kita juga mempertimbangkan bagaimana pengendalian makanan dijalankan dan apakah bidang yang mempunyai kesilapan berlaku, khususnya dari segi latihan. Ini kerana apabila satu pekerja berhenti, mereka perlu melatih pekerja baru dan memastikan piawaian yang konsisten."
- Anggota Parlimen GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam mengemukakan soalan tentang latihan pengendali makanan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >