LEBIH dari 200 kawasan termasuk dormitori pekerja asing, asrama pelajar, rumah kebajikan dan jagaan serta tempat kediaman telah menjalani pengawasan air sisa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sejak Februari tahun lalu.
Jumlah tersebut bakal meningkat kepada lebih dari 400 kawasan menjelang tahun depan, menurut NEA.
Dalam kenyataannya, agensi itu berkata sejauh ini ia mampu mengumpulkan sebanyak 2,500 sampel setiap minggu.
Pengawasan air sisa merupakan satu strategi pengawasan yang tidak mengganggu dan melengkapkan usaha ujian swab dan klinikal dalam mengesan penularan Covid-19.
Kelmarin, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung membuat lawatan di mana mereka menyaksikan bagaimana usaha pengambilan sampel air sisa di persekitaran masyarakat dalam kejiranan HDB dilakukan.
Antara lain, Encik Gan dan Encik Ong, yang juga merupakan Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) untuk mengatasi Covid-19, meninjau bagaimana alat autosampler, yang diprogram untuk mengumpulkan sampel air sisa ini, digunakan.
Baru-baru ini, kehadiran serpihan virus Covid-19 di dalam air sisa dari kawasan kejiranan seperti di Hougang, Yishun dan Bukit Merah View, telah mendorong pihak berkuasa untuk menjalankan ujian swab terhadap penduduk serta mereka yang mengunjungi kawasan itu.
Menurut NEA, lebih daripada 15 kes telah dikesan, sekali gus membantu mencegah penularan jangkitan Covid-19 lebih lanjut di dalam masyarakat.
Dalam pengawasan masyarakat yang lebih meluas, NEA berkata mereka juga melakukan "pengawasan proaktif di beberapa titik utama di pelbagai kawasan Singapura".
"Maklumat yang dikumpulkan dari kawasan ini memberikan gambaran mengenai tersebar luas jangkitan di kalangan masyarakat.
"NEA akan terus menilai keadaan bersama dengan agensi lain mengenai titik pengawasan air sisa untuk melengkapkan ujian klinikal," kata NEA.