Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Niaga penjaja Pasar Geylang Serai merosot tapi bantuan NEA dapat kurangi kos

May 24, 2021 | 05:30 AM



PERNIAGAAN penjaja makanan dan minuman di Pasar Geylang Serai dilaporkan merosot sehingga 80 peratus, justeru penjaja mengalu-alukan bantuan pemerintah yang diumumkan kelmarin untuk meringankan kos niaga.



Kemerosotan itu dipercayai disebabkan kurangnya pelanggan yang kini lebih berhati-hati berbelanja di tengah pandemik Covid-19.



Bantuan pemerintah itu melibatkan pelepasan sewa serta subsidi perkhidmatan pembersihan meja dan mencuci pinggan mangkuk untuk mengurangkan kos penjaja.



Menurut beberapa peniaga di pusat penjaja aras dua pasar itu, langkah itu dapat membantu mengurangkan sekitar 10 hingga 30 peratus kos mereka.



Namun, kebanyakan peniaga berkata mereka juga perlu berjimat memandangkan permintaan dalam Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) Covid-19 kini tidak sehangat tempoh langkah pemutus rantaian jangkitan (CB) tahun lalu.



Antara mereka yang ditemui semasa Berita Harian (BH) menjalankan tinjauannya semalam ialah Encik Osman Sudin, pemilik gerai Pak Din Nasi Ayam Bakar, yang berkata peniagaannya kini telah merosot sekitar 80 peratus sejak larangan menjamu selera di tempat makan berkuat kuasa sejak 16 Mei lalu.



Kini orang ramai hanya dibenarkan membawa pulang tempahan makanan mereka sahaja.



"Tak seperti sewaktu CB, permintaan untuk takeaway melonjak sampai kita pun tak boleh berehat.



"Sepatutnya kami menjangkakan keadaan yang sama (buat tempoh ini), tapi sekarang sepi sahaja. Nak harapkan Grab dengan takeaway pun tak jalan," katanya lagi merujuk kepada tempahan dalam talian yang turut merosot sekitar 80 hingga 90 peratus.



Beliau juga telah menghentikan dua pekerjanya agar dapat berjimat semasa tempoh ini.



Encik Osman yang telah berniaga di Geylang sejak era 1990-an berkata beliau mengaitkan kemerosotan perniagaan itu terhadap tabiat berbelanja yang berkurangan tahun ini.



"Saya kira orang lebih suka masak dan makan di rumah dan tak mampu nak berbelanja di luar untuk makan. Mungkin sebab ini dah kali kedua kami dikenakan sekatan seperti ini dan orang ramai lebih berjimat sekarang," katanya lagi.



Namun, katanya, dengan skim pelepasan sewa dan subsidi perkhidmatan pembersihan itu ia dapat mengurangkan kos $2,600.



Kelmarin, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, mengumumkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan menawarkan bantuan berjumlah $9 juta bagi penjaja di pusat penjaja kendalian NEA atau pengendali dilantik NEA.



Ini merangkumi pelepasan sewa setengah bulan bagi bulan ini dan bulan depan berjumlah sekitar $5.5 juta dan subsidi 100 peratus bagi bayaran perkhidmatan membersihkan meja dan pinggan sekitar $3.3 juta sepanjang tempoh sekatan dipertingkat itu.



Antara penjaja yang terjejas dek sekatan langkah kewaspadaan dipertingkat itu ialah pengendali gerai minuman di Pasar Geylang Serai yang mencatatkan kemerosotan sehingga 90 peratus.



Cik Siti Hasnah Arshad, 64 tahun, yang merupakan pemilik bersama Warung Wak Arshad Hjh Halimah, berkata kini mereka hanya bergantung kepada pelanggan Pasar Geylang yang kadangkala akan datang untuk membungkus minuman.



"Kadang kita berganding bahu bersama kedai makanan lain, kalau ada pelanggan yang nak bawa pulang makanan, mereka pun gabungkan tempahan air daripada kita," katanya.



Bagi pengendali gerai minuman, manfaat pelepasan sewa dan subsidi pembersihan lebih ketara, dengan merangkumi sekitar 30 peratus kos mereka, jelas Cik Siti Hasnah.



Namun buat tempoh ini Cik Siti Hasnah berkata beliau perlu berjimat dan "tidak ada gaji (buat diri)."



"Kita jual minuman, takkan orang nak bawa pulang. Mereka nak minum di sini. Jadi apa yang kami dapat (pendapatan daripada penjualan), kami gunakan untuk pastikan perniagaan kami berterusan," ujar beliau yang telah berniaga di Geylang selama lebih lima dekad itu.



Selain itu, beberapa peniaga yang tidak menawarkan khidmat tempahan dalam talian juga menyaksikan kadar kemerosotan penjualan yang sama.



Encik Hassan Gani, 41 tahun, penyelia gerai rojak Rumaisah Muslim Food misalnya, memberitahu BH kadar penjualannya turun 60 hingga 70 peratus dan tidak meraih sebarang untung sejak langkah dipertingkat itu berkuat kuasa pada 16 Mei lalu.



"Kita pernah gunakan Grab untuk tawar tempahan sup kambing kami, tapi itu pun tak memberi kita sebarang manfaat buat kali ini. Saya kira orang kurang berbelanjalah sekarang," katanya.



Skim bantuan NEA pula dapat membiayai sekitar 10 peratus kosnya namun beliau berkata, gaji pekerjanya dalam $1,300 setiap orang terpaksa dipotong setengah dengan setiap mereka bekerja setengah hari sahaja buat tempoh ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >