Caj beg plastik pakai buang mungkin mula tahun depan
RANCANGAN mengenakan caj bagi beg plastik pakai buang di pasar raya mungkin dilaksana tahun depan, setelah rundingan selesai hujung tahun ini.
Dalam membangunkan model sesuai bagi caj beg plastik pakai buang di pasar raya, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan mengkaji contoh luar negara dan berunding terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan dan orang ramai.
Mereka akan mengadakan rundingan tentang jumlah caj yang patut dikenakan, sama ada caj akan dikenakan bagi setiap pembelian atau berdasarkan bilangan beg, iaitu daripada beg pertama atau seterusnya, garis masa pelaksanaan dan cara menggunakan pendapatan daripada caj itu, kata Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Dr Amy Khor, di Parlimen semalam.
"Kami akan mengambil kira konteks tempatan kita, seperti amalan sedia ada menggunakan semula beg plastik pakai buang untuk membuang sampah. Kami juga akan meneliti sebarang kesan mengenakan caj itu, terutama ke atas kumpulan mudah terjejas seperti keluarga berpendapatan rendah, dan berunding dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan agensi khidmat sosial tentang langkah mitigiasi yang boleh diambil untuk menangani sebarang kesan," katanya.
SG kaji pendekatan rahsiakan tertuduh hingga nyata bersalah
DI Singapura, orang yang dituduh melakukan jenayah akan dibicarakan secara terbuka dan keputusannya juga diumumkan secara terbuka.
Pendekatan ini membolehkan mangsa tidak dikenal pasti dalam kes pesalah bersiri tampil dan mendapatkan bantuan.
Pendirian Singapura tentang isu ini, bagaimanapun, bukan tidak boleh diubah sampai bila-bila, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, di Parlimen semalam.
Beliau berkata satu kelemahan daripada pendekatan yang diambil Singapura itu ialah reputasi tertuduh boleh terjejas teruk oleh publisiti daripada liputan media ke atas perbicaraan jenayah, walaupun mereka kemudian dilepaskan daripada tuduhan itu.
Beliau berkata ada merit dalam pendekatan satu lagi, iaitu identiti tertuduh dilindungi sehingga mereka didapati bersalah, tetapi buat masa ini Singapura mengekalkan pendekatannya, tetapi ini akan terus dikaji.
CPIB bongkar semua kes rasuah tanpa kira jenis, jumlah terlibat
NILAI perampasan yang dibuat oleh mahkamah bagi kes Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada 2018, 2019 dan 2020 masing-masing ialah sekitar $2.4 juta, $3.8 juta dan $2.2 juta.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing bagi pihak Perdana Menteri berkata di Parlimen semalam bahawa rasuah tidak diterima di Singapura kerana ia merosakkan kepercayaan masyarakat dan merekahkan fabrik sosial negara.
CPIB membongkar semua kes rasuah tanpa mengambil kira jenis ganjaran, kuantum kontrak atau jumlah rasuah terlibat.
"Perniagaan mempunyai keyakinan bahawa pelaburan dapat berkembang di sini, kerana peraturan kita telus dan diterapkan secara adil.
"Warga Singapura dapat memenuhi potensi mereka melalui usaha dan kerja keras mereka sendiri dalam masyarakat meritokratik.
"Pesalah rasuah menghadapi hukuman berat. Selain itu, CPIB menyerahkan kembali keuntungan jenayah dan aset yang tidak dapat dijelaskan bagi mereka yang disabitkan dengan kesalahan rasuah, melalui usaha pemulihan asetnya yang tegas," kata Encik Chan.