Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ekon terbuka, dasar bakat asing bantu tingkat hidup warga SG

Syarikat wujudkan pekerjaan dan negara jadi tarikan hab serantau
Sep 15, 2021 | 05:00 AM



EKONOMI terbuka dan dasar bakat asing Singapura telah membantu meningkatkan tahap kehidupan dan menghasilkan pekerjaan baik bagi warga negara ini.



Namun, terdapat kesan serius jika negara ini mengambil sifat tertutup dan kehilangan tarikannya sebagai hab serantau, menyebabkan syarikat meninggalkan negara ini bersama pekerjaan yang mereka sediakan.



Berkata demikian di Parlimen semalam, Menteri Kewangan Lawrence Wong dan Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng mempertahan dasar bakat asing Singapura selepas Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, mengajukan satu usul untuk bercakap tentang isu tersebut.



Encik Wong berkata pemerintah tidak dapat menerima usul Encik Leong kerana ia memberi tanggapan salah bahawa cabaran yang dihadapi warga Singapura untuk mendapatkan pekerjaan adalah disebabkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan warga asing, walaupun selepas satu perbahasan di Parlimen mengenai hal ini Julai lalu.



"PSP menganggap kalau kami mengurangkan jumlah warga asing di sini, semua pekerjaan mereka akan diisi warga Singapura secara automatik," ujar Encik Wong yang turut mengkritik pendirian PSP yang berbaur perkauman dan xenofobia dalam isu ini.



Semasa menyampaikan ucapan pembukaan bagi Usul Menjamin Pekerjaan dan Sara Hidup Warga yang diajukannya, Encik Wong menarik perhatian terdapat lebih 25,000 kerja kosong bagi jawatan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) kini dengan banyak syarikat yang masih mencari pekerja.



"Dengan begitu banyak syarikat menghadapi kesukaran mengisi jawatan kosong ini, bagaimana kita mahu mencari individu dengan kemahiran relevan untuk mengisi tambahan 'puluhan ribu' pekerjaan tambahan yang Encik Leong kata boleh dihasilkan dengan ketiadaan pekerja asing di sini?" ujarnya.



PSP telah beberapa kali menggunakan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (Ceca) dengan India sebagai contoh bagaimana warga Singapura kehilangan pekerjaan kepada warga asing.



Berucap semasa perbahasan mengenai usul itu, Dr Tan berkata isu warga asing dan pekerjaan telah ditangani pelbagai menteri, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan, beberapa kali sebelum ini.



Dr Tan juga menekankan bahawa tarikan Singapura kepada pelabur adalah hasil usaha negara ini selama ini dan banyak agensi pemerintah yang terus bekerja keras untuk memastikan ia dapat mengekalkan tarikannya dan terus menjadi sebuah ekonomi berdaya saing.



"Adakah Encik Leong dan partinya menganggap Singapura akan sentiasa dianggap menarik oleh pelabur selamanya? Adakah sesuatu yang ajaib yang menarik syarikat berbilang negara global ke sini? Semua ini berlaku secara spontan?" ujar Dr Tan.



Antara Anggota Parlimen yang menyertai perbahasan semalam termasuk Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied); Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh); Encik Patrick Tay (Pioneer) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Janet Ang.



Di awal perbahasan itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam serta Encik Leong menghabiskan masa lebih sejam bertikam lidah tentang isu bakat asing itu, dengan Encik Shanmugam bertanya mengapa PSP memilih untuk menarik perhatian tentang Ceca daripada pelbagai FTA Singapura dalam usul yang diajukannya.



Sehingga akhbar ini dicetak, perbahasan itu masih diteruskan malam tadi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >