Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Keluarga satu institusi yang dihargai

Mar 13, 2022 | 05:30 AM



BAGI meraikan dan memperingati detik kelahiran bayi mereka, seramai 10 keluarga mengambil kesempatan menanam ‘pokok keluarga’ atau ‘FamilyTrees’ semalam. 



Acara yang merupakan kerjasama Lembaga Taman Negara (NParks) dan Families for Life (FFL) ini merupakan sebahagian daripada kempen Tahun Meraikan Keluarga Singapura (YCF) yang turut rasmi dilancarkan semalam.



Turut hadir pada majlis pelancaran YCF di Coastal PlayGrove Taman East Coast ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.



Ketika ditemui media selepas acara tersebut, Encik Masagos berkata keluarga merupakan institusi penting dalam membangunkan individu yang berjaya.



“Tahun ini kita akan meraikan keluarga di Singapura kerana keluarga merupakan satu institusi yang dihargai.



“Melalui keluarga juga, kita melahirkan individu yang teguh, kukuh dan dapat menyumbang kembali kepada masyarakat. 



“Mereka juga akan membina sebuah keluarga yang baru. Inilah satu lingkaran baik yang harus kita teruskan di Singapura,” kata Encik Masagos sambil berharap setiap keluarga dapat menghargai masa yang diluangkan bersama seperti menerusi acara dan program yang akan dianjurkan bagi menyambut YCF sepanjang tahun ini.



Menerusi inisiatif ‘FamilyTrees’ misalnya, ibu bapa boleh memperingati kelahiran anak dengan menanam pokok, yang akan menjadi peringatan tentang peranan yang dimainkan keluarga dalam kehidupan semua.



Semua keluarga yang mempunyai anak yang dilahirkan tahun ini, layak menerima peluang ini selain menerima sijil elektronik ‘FamilyTrees’ sebagai tanda peringatan. 



Salah seorang keluarga yang mengambil bahagian menanam pokok semalam ialah pasangan suami isteri, Encik Mohd Dzulhilmy Masni, 30 tahun, dan Cik Syasya Firzana Rosle, 29 tahun.



Menurut Encik Dzulhilmy, kegiatan menanam pokok itu sempena memperingati kelahiran puteri beliau, Miiya Dzafirah, dua tahun, yang menghidap palsi serebrum dan epilepsi.



“Kami telah menamakan pokok itu sempena nama anak kami, Miiya dan berharap tumbuh dan membesar bersama-sama dengan anak kami,” ujarnya. 



Sementara itu, menurut Encik Lee, inisiatif ‘FamilyTrees’ ini adalah sebahagian daripada pergerakan OneMillionTrees - usaha seluruh negara untuk menanam sejuta lagi pokok di seluruh Singapura menjelang 2030 apabila Singapura berubah menjadi Bandar dalam Alam Semula jadi.



“Kami ingin menggalak keluarga dan masyarakat untuk bersama-sama bukan hanya untuk menanam pokok, malah untuk memperkukuhkan lagi hubungan mereka menerusi pengalaman yang dikongsi ini.



“Dengan menanam pokok, keluarga boleh meninggalkan legasi yang berkekalan dalam kehidupan lebih hijau dan mampan di Singapura untuk anak-anak dan cucu-cicit mereka,” jelas Encik Lee. 



Pengerusi Majlis FFL, Encik Ishak Ismail, pula berkongsi bahawa FFL sedang berusaha membawa inisiatif ini ke bandar-bandar utama di sekitar Singapura, bermula dengan Chua Chu Kang.



Keluarga yang layak boleh mendaftar untuk acara penanaman pokok di bawah inisiatif ‘FamilyTrees’, dan melihat sendiri pertumbuhan pokok bersama-sama pertumbuhan bayi mereka menerusi laman NParks’ TreesSG di https://www.nparks.gov.sg/treessg.



Kelmarin, Encik Masagos mengumumkan bahawa 2022 telah diisytihar sebagai Tahun Meraikan Keluarga Singapura (YCF). 



Kempen yang diterajui FFL, dengan sokongan Perikatan untuk Bertindak bagi Mengukuhkan Perkahwinan dan Hubungan Keluarga, bertujuan menyatukan warga Singapura untuk meraikan peranan penting keluarga dalam kehidupan selain menggalak keluarga untuk menghabiskan masa bersama serta menggembleng seluruh masyarakat bagi menyokong keluarga.



Maklumat lanjut tentang sambutan yang bakal diadakan boleh didapati menerusi laman go.gov.sg/celebratingsgfamilies




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >