Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

BH/BM mendakap digital

Setempat
27
0

BH/BM mendakap digital

Sambil perkukuh akhbar cetak, BH/BM dekati pengguna dengan lebih luas melalui BH.sg; turut 'bereksperimen' dengan pelbagai inisiatif media baru
Jan 03, 2021 | 05:30 AM

TAHUN 2020 akan tercatit dalam sejarah sebagai tahun yang luar biasa, dipenuhi ketidaktentuan dan gangguan yang menyelinap ke hampir setiap aspek kehidupan masyarakat.

Namun, 2020 juga bakal dikenang sebagai tahun di mana dunia menggandakan usaha mendakap digital dalam setiap aspek kehidupan - dari bekerja, mengendalikan perniagaan hinggalah kepada interaksi harian.

Kesan teknologi dalam kehidupan kita amat meluas.

Dari kanak-kanak prasekolah yang perlu melakukan pembelajaran dari rumah (HBL) hinggalah datuk nenek yang hanya dapat mengubat rindu dengan cucu-cucu menerusi wadah digital seperti Zoom.

Sebagai akhbar tunggal berbahasa Melayu di Singapura, Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM) juga telah menggandakan usaha memenuhi keperluan penggunanya dan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif dalam talian.

Sepanjang 2020, laman web akhbar ini telah dinaik taraf secara bertahap-tahap, menyesuaikan diri dengan citarasa dan keperluan pengguna yang berubah.

Di tengah-tengah pandemik yang meruncing tahun lalu, akhbar dan laman web BH/BM menjadi sumber maklumat utama masyarakat Melayu setempat.

Sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan (CB), laman web akhbar ini - www.BeritaHarian.sg - menikmati lebih 1.4 juta tatapan halaman atau pageviews.

Trend peningkatan itu kekal konsisten sepanjang tahun, mencatat lebih 500,000 pelawat unik setiap bulan.

Laman web yang juga boleh dikunjungi menerusi pautan, www.BH.sg, itu juga dijadikan lebih mesra pengguna dengan 'widget' khas bagi podcast dan video - supaya mudah bagi pengguna menikmati kandungan rencam yang disediakan akhbar ini.

Satu lagi ciri mesra pengguna - kededua pelanggan dan bukan-pelanggan BH/BM - ialah memperkenalkan petanda kandungan 'percuma' dan 'premium'.

Di samping itu, inisiatif terkini BH.sg ialah Peta Makanan Halal (Halal Food Map) yang membolehkan pengguna mencari kedai atau restoran makanan halal berhampiran mereka.

Usaha ini akan diperluas pada 2021, dan buat masa ini hanya boleh diakses menerusi pelungsur web di alat mudah alih (web browser).

Melebihi laman web, BH/BM pada tahun lalu juga memperkenalkan produk terbaru - The BM Show.

Rancangan dalam talian yang 'disiarkan' setiap Ahad jam 10 pagi di Facebook dan Instagram itu bercorak gaya hidup dan menampilkan dua wartawan akhbar ini - Hanim Mohd Saleh dan Irma Kamarudin - sebagai pengacara.

Dilancarkan pada 14 Jun tahun lalu, musim pertama The BM Show itu menampilkan 10 episod manakala musim kedua sebanyak lapan episod baru berakhir awal bulan lalu.

Respons kepada 'eksperimen' BH/BM ini amat menggalakkan.

Musim kedua The BM Show menikmati lebih 200,000 tontonan dengan lebih 51 peratus penonton berusia antara 21 dengan 44 tahun.

Musim ketiga rancangan ini akan menemui penonton bulan depan dengan konsep segar.

Kejayaan awal The BM Show bukan hanya hasil kerja keras dua pengacaranya, bahkan melibatkan tenaga di belakang tabir yang sama komited menerbitkan program yang bermakna bagi para penonton.

Wartawan Zulaiqah Abdul Rahim dan Nur Humaira Sajat meninggalkan "buku nota dan pena" wartawan akhbar tradisional untuk berganding bahu mengilhamkan rancangan dalam talian yang menarik setiap minggu itu.

Pada masa yang sama, podcast terbitan akhbar ini, #NoTapis, terus berkembang.

Diterajui koresponden, Shahida Sarhid, podcast tersebut meninggalkan 2020 di tangga ke-28 dalam carta Spotify setempat.

Ini meskipun #NoTapis terpaksa berehat buat tempoh beberapa bulan kerana keterbatasan membawa tetamu ke studio rakaman di bilik berita akhbar ini gara-gara sekatan Covid-19.

Podcast kami kini mencakupi pendengar sejauh Malaysia dan Indonesia.

Bagi pendengar setempat, 46 peratus berusia antara 16 dengan 21 tahun, mencerminkan topik perbincangan yang diketengahkan dalam podcast tersebut.

Sebagai lanjutan kepada podcast, BH/BM juga bereksperimentasi dengan wadah Facebook Live,

Menerusi wadah tersebut, wartawan membincangkan isu-isu yang dekat dengan hati masyarakat daripada isu-isu 'berat' seperti seperti penutupan masjid (semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan), kemelesetan ekonomi dan pemberhentian kerja di tengah-tengah pandemik Covid-19 hinggalah kepada sambutan Aidilfitri oleh artis-artis setempat dan serantau.

Pada masa yang sama, kami terus menerbitkan video dari masa ke masa sebagai tambah nilai kepada kisah dan isu yang dikupas di dada akhbar.

Bahkan, mutu video terbitan BH/BM telah mendapat perhatian banyak pihak yang mahu bekerjasama dengan akhbar ini termasuk kementerian, agensi pemerintah dan syarikat swasta.

Sajian dalam talian akhbar ini akan diteruskan pada tahun 2021 ini.

Malah, pengguna BH/BM boleh juga mengalu-alukan aplikasi mudah alih akhbar ini yang baru, yang menyepadukan semua tawaran digital di bawah satu bumbung.

Natijahnya, sedang Covid-19 memberi cabaran hebat kepada dunia kewartawanan (seperti juga sektor-sektor lain), ia juga membuka banyak peluang bagi BH mendekati lebih ramai pembaca, penonton dan pendengar menerusi wadah digital, selain memperkukuh kemahiran wartawan bagi menyesuaikan diri dalam landskap kewartawanan baru.


" Natijahnya, sedang Covid-19 memberi cabaran hebat kepada dunia kewartawanan (seperti juga sektor-sektor lain), ia juga membuka banyak peluang bagi BH mendekati lebih ramai pembaca, penonton dan pendengar menerusi wadah digital, selain memperkukuh kemahiran wartawan bagi menyesuaikan diri dalam landskap kewartawanan baru."

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3