Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bersatu teguh,upaya langkah jauh

Projek M3 mendapat sokongan pihak berkepentingan, beri khidmat bersepadu lebih berkesan kepada masyarakat | Perkukuh keluarga, pertingkat sokongan banduan dan keupayaan belia Melayu/Islam | Masyarakat Melayu/Islam mampu hurai masalah sendiri | Sedia kongsi pengalaman dan cara hidup di Singapura dengan dunia luar
Jun 30, 2019 | 05:30 AM



Setahun selepas menyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkongsi pandangannya tentang pencapaian mercu tanda dan cabaran yang dilalui masyarakat Melayu Islam di Singapura dalam wawancara khas dengan Berita Minggu, bersama NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg).




GUGURKAN tanggapan bahawa kita minoriti yang lemah.



Masyarakat Melayu Islam setempat berjaya dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



"Kita tidak boleh terus patah hati, atau menganggap diri kita sebagai masyarakat yang lemah, terhina dan sebagainya... inilah yang memomok masyarakat kita selama ini.



"Malah, saya lihat ada karyawan muda yang sudah mula maju dalam kerjaya mereka, tetapi enggan bersama dengan masyarakat kerana mereka berasa identiti kita adalah jelek. Begitu sekali kesannya," ujar Encik Masagos.



"Jadi, adalah penting bagi kita memberikan satu semangat (baru) kepada masyarakat... melihat pencapaian kita selama beberapa dekad ini... kita harus bangga," tambahnya lagi, sambil tersenyum.



Encik Masagos berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan Berita Minggu (BM) di Kelab Masyarakat Tampines West baru-baru ini.



Wawancara yang menyentuh pelbagai topik itu sempena ulang tahun pertama beliau menjadi Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, diadakan pada sebelah petang Ahad lalu.



Menurut Encik Masagos, beliau telah keluar rumah sejak pagi, termasuk bertemu penduduk di kawasan kejiranan.



Namun menteri berusia 56 tahun itu masih kelihatan bertenaga dan segak memakai kemeja putih bermotif batik ungu.



MEMBINA 'MASYARAKAT GEMILANG'



Semasa berucap di Perjumpaan Hari Raya Menteri baru-baru ini - kali kedua beliau berbuat demikian - Encik Masagos membentangkan wawasannya untuk membentuk 'Masyarakat Gemilang'.



Ini termasuk menggesa masyarakat Melayu/Islam supaya lebih berkeyakinan diri tentang keupayaan sendiri dan tidak terperangkap dengan stereotaip kaum minoriti, yang bak 'mangsa' yang perlu diselamatkan dan asyik mengemis bantuan.



Sebaliknya, ia perlu terus melangkah maju berasaskan tiga kekuatan, iaitu keperibadian - antaranya sikap bergotong-royong dan saling memberi bantuan; kemahiran - masyarakat berdikari yang berpendidikan dan mampu menyelesaikan masalah sendiri; dan kewarganegaraan - identiti masyarakat yang berpegang kepada budaya dan agama tetapi tetap bersemangat nasional.



Diminta mengulas tentang pencapaian masyarakat dalam tempoh setahun yang lalu, Encik Masagos berkata beliau "gembira sekali" dengan kemajuan yang dicapai melalui projek M KuasaTiga (M3).



Berpangkalan di Wisma Geylang Serai (WGS), M3 ialah pergerakan masyarakat yang bertujuan menyepadukan usaha dan keupayaan pelbagai agensi Melayu/Islam setempat supaya ia lebih berkesan dalam melaksanakan khidmat bagi masyarakat.



Diketuai oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki (Mendaki) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), M3 telah mula diperluas ke estet perumahan yang mempunyai jumlah penduduk Melayu/Islam yang lebih tinggi.



Enam M3@Bandar telah dilancar - di Tampines, Pasir Ris-Punggol, Bedok, Chua Chu Kang, Jurong dan Nee Soon - sementara lagi dua - di Marsiling-Yew Tee dan Woodlands dijadual dilancar tidak lama lagi.



Menurut Encik Masagos, walau pada mulanya ada sebahagian pihak yang sangsi tentang pelaksanaan M3 dan matlamatnya, dalam tempoh setahun, projek itu telah berjaya 'disosialisasikan' - atau menyakinkan karyawan dan pihak berkepentingan akan matlamatnya.



M3, kata Encik Masagos, penting dalam peranan mengisi jurang atau menjadi jambatan di fasa terakhir dalam penyampaian khidmat yang disediakan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) kepada masyarakat.



Menggunakan program Tiga M (3M) Mendaki - yang bertujuan menyokong pembelajaran matematik kanak-kanak Melayu/Islam dengan mempertingkat pengetahuan ibu bapa tentang subjek itu - Encik Masagos berkata 90 peratus daripada kanak- kanak dalam program itu tidak perlu menjalani program Sokongan Pembelajaran Matematik (LSM) - bagi murid yang lebih lemah - di sekolah rendah.



Namun jangkauan program 3M adalah terhad, dengan hanya sekitar 100 peserta setiap tahun.



Bagaimanapun, dengan sokongan M3, program itu telah menetapkan sasaran penyertaan 1,500 kanak-kanak tahun ini, yang bermakna ia perlu mendekati 4,000 keluarga.



"Jika ada program yang baik, tapi dengan jangkauan yang terhad... bagaimana pula hasilnya nanti?" kata Encik Masagos, bertanya secara retorik.



"Disebabkan adanya rangkaian M3, kita membolehkan Mendaki bekerjasama dengan Mesra dan masjid-masjid untuk menyampaikan projek-projek kepada ibu bapa yang mempunyai anak di peringkat prasekolah dan mereka dikenal pasti oleh sekolah-sekolah itu (untuk menyertai program)," ujar beliau.



TIGA CABARAN



Memandang ke hadapan, Encik Masagos turut mengenal pasti tiga perkara untuk diperjuangkan melalui rangkaian M3, iaitu memperkukuh unit keluarga, mempertingkat sokongan bagi banduan dan keluarga, serta membina keupayaan belia Melayu/Islam, antaranya supaya mampu melanjutkan pengajian ke peringkat posmenengah - sekurang-kurangnya berbekal kelulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).



Menurut Encik Masagos, M3 sedang memberi tumpuan kepada tiga perkara ini, yang masing-masing dipimpin oleh tiga Anggota Parlimen (AP) Melayu Islam - Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) Amrin Amin (sokongan bagi banduan dan keluarga); Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan) Muhammad Faishal Ibrahim (Keluarga); dan Cik Rahayu Mahzam (Belia).



Mengulas tentang rancangan menambah keupayaan belia, Encik Masagos berkata:



"Formula (untuk mencapai matlamat) ini di Singapura tidak begitu susah. Kita hanya perlu mendorong semua pelajar ke hadapan, supaya mereka tidak tercicir ke belakang garisan merah (pendidikan ITE).



"Kedua, kita berikan dorongan, sokongan dan motivasi kepada belia yang berpotensi, supaya jangan mengambil laluan yang lebih mudah dan cuba melewati garisan biru iaitu pengajian di universiti," kata Encik Masagos lagi.




TENTANG KEPELBAGAIAN MENINGKAT DALAM MASYARAKAT 



 "Kita sedang menyelesaikan masalah ini, kerana puncanya adalah kepimpinan... kita perlu menyatukan kepimpinan masyarakat Melayu/Islam di Singapura... selama ini Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) digunakan sebagai wadah untuk menyatukan mereka dan memberi mereka fokus. Kedua, kita perlu menyelaras asatizah supaya dari awal, mereka diberikan asas yang baik di madrasah sebelum mereka melanjutkan pengajian ke Timur Tengah mahupun Indonesia dan Malaysia. Asas yang kuat boleh memberi mereka keupayaan menapis keluar ajaran yang mungkin tidak salah, tetapi tidak relevan kepada kehidupan di Singapura."
- Antara cabaran yang diutarakan Encik Masagos semasa mula-mula menyandang jawatan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam adalah untuk menangani isu kepelbagaian yang meningkat dalam masyarakat, termasuk dari segi fahaman dalam agama.




15% WARGA S’PURA ANGGAP MUSLIM MENGANCAM, BERDASAR TINJAUAN IPS



"Saya yakin ini bukan masalah besar. Masalah ekstremisme dan pengasingan bukan cara hidup di Singapura... ia masalah negara lain dan bukan masalah kita. Kadangkala saya juga penat, kerana kita perlu asyik mohon maaf (bagi perkara yang berlaku di negara lain). Saya rasa kita tidak perlu terus mohon maaf... kita adalah masyarakat gemilang dan berbeza daripada masyarakat Muslim lain di nusantara. Namun kita tidak boleh bersikap sambil lewa... perlu menunjukkan imej kepada masyarakat lebih luas bahawa kita adalah masyarakat contoh dan berjaya, dan anda boleh bergantung pada kita."
- Encik Masagos mengulas Tinjauan Institut Pengajian Dasar (IPS) yang terbit Mac lalu yang menunjukkan lebih 70 peratus warga Singapura berasa warga berbilang agama boleh hidup bersama di sini. Namun, sekitar 15 peratus mengganggap orang Islam sebagai satu ancaman.




MEMBINA MASYARAKAT GEMILANG



"Saya fikir kita harus berpindah (daripada tanggapan) bahawa kita masyarakat yang bermasalah, dan menjadi masyarakat yang boleh menyelesaikan semua masalah. Kita mempunyai aset yang begitu besar dalam masyarakat... daripada jumlah karyawan yang kian bertambah - bukan sahaja dari segi jumlah, malah dari segi kualiti. Mereka kini bekerja di tempat-tempat yang hebat. Mereka memegang jawatan yang besar.

Kemudian, kita lihat pada prasarana yang ada di Singapura... tiada hospital untuk orang miskin atau sekolah untuk orang miskin. Semua sekolah adalah sekolah yang baik, semua hospital adalah hospital yang baik. Terpulang kepada kita untuk merebut peluang yang ada."

- Encik Masagos membentangkan wawasan membina masyarakat gemilang berpandukan kekuatan dalam tiga perkara - keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan - dalam ucapannya sempena Hari Raya.




KONGSI PENGALAMAN DENGAN DUNIA



"Masyarakat minoriti di tempat lain di dunia mengalami pelbagai masalah... masalah sosial kerana tidak mahu berintegrasi dengan masyarakat lebih luas kerana mereka berasa perlu mempertahankan identiti mereka, atau mereka berasa itulah cara menjadi orang Islam yang baik. Kita di Singapura, beruntung (dan boleh menunjukkan kepada dunia) kerana buat sekian lama, telah mengamalkan agama dan mempertahankan nilai-nilai agama tanpa meremehkan nilai-nilai atau prinsip Islam. Kita juga boleh menunjukkan sistem-sistem yang wujud di Singapura untuk mempertahankan kepentingan agama, seperti Muis, dan Mendaki - yang menyokong kepentingan pendidikan masyarakat. Sebagai isyarat kita ingin bersatu padu dengan masyarakat lebih luas, kita adakan Mesra."
- Encik Masagos berkata Singapura bercadang mengadakan persidangan 'masyarakat gemilang' tahun depan, bagi memulakan perbincangan dengan masyarakat minoriti di negara lain dan menunjukkan cara hidup yang telah mendatangkan kesan positif di sini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >