Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

‘Kewarganegaraan’

‘K’ ketiga dalam Masyarakat Gemilang
Jun 15, 2019 | 05:30 AM



SEJAUH ini, saya telah berkongsi bagaimana kita telah membangunkan masyarakat Islam Singapura dengan keperibadian murni dan kemahiran kukuh.



Namun, untuk membangunkan Masyarakat Gemilang, kita juga memerlukan sifat 'K' yang ketiga, iaitu semangat kewarganegaraan.



Nilai inilah yang akan memperkukuhkan ikatan masyarakat kita kepada warga lain dan meterai masyarakat kita sebagai aset penting kepada Singapura.



Justeru, sebagai Masyarakat Gemilang, kita tidak harus puas hanya sekadar berintegrasi kerana tahu hanya sifat kewarganegaraan yang dapat menyemai kepercayaan antara warga demi mencipta kemakmuran untuk semua dan memperteguh jadi diri sebagai anak watan Singapura.



Yang menjadi persoalan adalah apakah model kewarganegaraan orang Islam sebagai masyarakat minoriti?



Ini adalah persoalan penting. Oleh kerana ia tidak banyak difikirkan, ramai masyarakat Islam yang hidup sebagai minoriti, kurang faham bagaimana mereka dapat hidup secara rukun dan sejahtera apalagi dalam masyarakat majmuk sambil berpegang teguh kepada ajaran Islam.



Akibatnya, ramai yang hanya berpaut pada hak beragama dan tidak yakin untuk sempurnakan tanggungjawab sebagai warga dan Muslim yang baik dengan selari. Hasilnya juga, ramai memilih hidup secara terasing. Yang lebih memburukkan keadaan ialah apabila pemerintah atau kaum majoriti memaksa mereka untuk berasimilisasi.



Di sini ingin saya berkongsi panduan daripada seorang ustaz.



Sejarah Islam telah menunjukkan bagaimana masyarakat Islam awal di Habashah tinggal di negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Kristian. Yang kurang kita tahu ialah mereka turut keluar mempertahankan negara itu daripada berbagai serangan dan ancaman musuh. Justeru mereka dihormati dan dilindungi oleh pemimpin dan penduduk asal negara itu yang beragama Kristian. Mereka hidup tanpa penindasan.



Episod daripada sejarah ini boleh memberi kita panduan. Jelas, masyarakat Islam Singapura harus dipandu oleh nilai-nilai keagamaan serta kemasyarakatan yang positif. Tetapi ia hanya akan dapat dihargai apabila diterjemahkan menjadi inisiatif serta langkah konkrit yang mana manfaatnya dapat dirasai ramai.



Seperti mana kaum Muhajirin di Habashah keluar perang bersama mempertahankan tanah pelindung mereka. Kewarganegaraan masyarakat Islam serta nilai yang menjadi pegangan mereka akan diukur oleh sejauh mana kehadiran mereka dapat membawa harapan, kesejahteraan serta pembangunan untuk semua.



Oleh itu, amat sesuai sekali apabila seorang Muslim hendaknya menjadi ibarat pepohon kurma yang akarnya berpegang teguh pada bumi, manakala pepohon daun dan buahnya dinikmati ramai.



Kita beruntung kerana kitalah satu- satunya masyarakat minoriti Islam yang mempunyai tidak kurang daripada 4,000 tenaga ahli berbagai bidang agama yang membimbing kita. Lebih 2,500 daripada mereka pula merupakan asatizah yang bertauliah.



Saya ingin menggalakkan asatizah setempat agar bekerjasama dengan Pejabat Mufti serta kepimpinan masyarakat yang lain untuk membangunkan suatu bentuk pemikiran Islam setempat yang dapat memandu masyarakat Islam Singapura. Matlamatnya adalah untuk memastikan bahawa masyarakat Islam di Singapura dapat terus hidup dengan penuh keyakinan.



Berbekalkan keyakinan keagamaan inilah, kita akan dapat terus turut sama menyumbang dalam aliran perdana masyarakat Singapura dan mewujudkan sikap kewarganegaraan yang kukuh.



Kita tidak lagi disibukkan dengan kebimbangan bahawa menghadiri upacara keagamaan teman atau mungkin saudara sekeluarga yang berlainan agama itu satu masalah keagamaan. Bahkan kita turut sama mengucapkan selamat kepada mereka pada keramaian keagamaan atau budaya mereka. Keagamaan yang lebih jitu akan meramaikan lagi kita yang aktif menyertai aktiviti sosial sama ada di tempat kerja, kejiranan mahupun sekolah kita.



Oleh kerana sistem dan model yang membolehkan kita mengecapi kehidupan yang makmur sebagai masyarakat minoriti Islam adalah sesuatu yang selalu dipantau dan boleh dikongsi sama, saya ingin mengumumkan satu persidangan di Singapura tentang masyarakat gemilang pada tahun hadapan. Antara lain ia akan membahaskan panduan agama untuk minoriti Islam hidup secara warga yang dihormati. Ini kerana sumbangan Muis, para alim dan asatizah kita selama ini sangat kaya dari segi pengalaman, fatwa dan irsyad dan boleh dikupas dan dibangunkan bersama ulama arif dari setiap pelusuk dunia. Singapura boleh beri sumbangan yang bermakna kepada dunia.



Seperti mana kaum Kristian Habashah bergantung kepercayaan pada kaum Muhajirin, kewarganegaraan dan kepercayaan kita mewajibkan kita berkongsi nilai yang dipegang oleh warga Singapura. Baru-baru ini, saya mengunjungi Pameran 200 Tahun Singapura, dan diingatkan bahawa nilai-nilai tersebut telah pun diterapkan dalam masyarakat kita sejak 700 tahun dahulu.



Tiga nilai yang dikongsi bersama ialah (i) keyakinan kita tentang manfaat kepelbagaian budaya, (ii) komitmen untuk menentukan nasib kita sendiri, dan (iii) keterbukaan kita kepada perubahan. Nilai-nilai ini telah mencorak sikap dan minda orang Melayu/Islam di Singapura juga hingga kita berbeza dengan orang Melayu di Nusantara.



Tidak hairanlah, walaupun dialog silang agama belum menjadi satu norma atau kebiasaan di rantau ini, namun, di Singapura, Moulana Abdul Aleem Siddique dengan berpandukan penghayatannya pada roh Islam, yang pada akarnya bermaksud kedamaian, menganjurkan kerjasama yang lebih baik dalam kalangan agama yang berlainan, telah mempengaruhi penubuhan Persatuan Antara Agama atau IRO 70 tahun lalu.



Semasa lawatan saya ke pameran 200 Tahun Singapura, saya melihat dengan jelas simbol kewarganegaraan orang Melayu/Islam Singapura tertukil dengan pengorbanan Leftenan Adnan Saidi.



Leftenan Adnan dan rakan seperjuangannya dari Regimen Melayu menghadapi pertempuran sengit dengan tentera Jepun demi mempertahankan Pasir Panjang. Pertempuran itu adalah satu-satunya perang habis-habisan di tanah Singapura. Walaupun mereka kekurangan makanan dan air, mereka tidak putus asa dan terus berjuang. Semasa pertempuran itu, Leftenan Adnan ditembak di lengannya dan walaupun kehabisan peluru, beliau terus menentang musuh hingga ke saat-saat akhir.



Malah, beliau bukan sahaja berani, tetapi bijaksana. Antara kisah yang dikongsi mengenai beliau adalah bagaimana beliau berjaya menggagalkan rancangan tentera Jepun untuk menyelinap masuk ke Regimen Melayu dengan memakai seragam British, hasil ketelitian dan kepandaian beliau.



Saya amat terharu dengan kisah Leftenan Adnan kerana pengorbanan beliau merupakan contoh terunggul ketiga-tiga 'K' yang saya sebutkan, iaitu keperibadian murni, dan kemahiran bermanfaat, manakala sifat kewarganegaraan Leftenan Adnan pula dibuktikan melalui pengorbanannya mempertahankan negara daripada musuh.



Tokoh seperti Leftenan Adnan dan kisah-kisah inspirasi yang saya kongsikan tadi mencerminkan nilai-nilai yang telah membina Masyarakat Gemilang kita.



Sambil kita berhimpun untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada malam ini, kita juga meraikan pencapaian masyarakat kita yang membanggakan. Kita masyarakat yang penuh keperibadian, kemahiran, dan kewarganegaraan.



Kita bukan masyarakat bermasalah tetapi masyarakat yang menyelesaikan masalah kita sendiri. Kita masyarakat minoriti yang memberi sumbangan besar. Bilangan kita yang kecil tidak menjadi hambatan.



Tujuan saya malam ini ialah untuk menunjukkan bahawa kita mesti hapuskan sebarang tanggapan negatif kita terhadap masyarakat kita sendiri kerana banyak yang harus kita syukuri dan banggakan. Cabaran akan sentiasa wujud.



Namun, seperti askar, kita tidak boleh masuk ke medan pertarungan dengan bersikap ragu-ragu tanpa keyakinan diri. Maka tewaslah kita. Ayuh, kita bangkit dengan semangat baru yang membara berlandaskan keperibadian murni, kemahiran kukuh dan semangat kewarganegaraan yang jitu kerana kita sememangnya sebuah Masyarakat Gemilang.



Saya akhiri ucapan saya dengan tiga rangkap pantun:



Makan nangka makanlah jerami

Tinggal seulas ingatlah kami

Keperibadian masyarakat, mengukuh silaturahmi

Kemahiran umat memperkukuh ekonomi.



Maaf dipohon di pagi raya

Sudah menjadi adat nan kawi

Kewarganegaraan benteng negara

Demi Singapuraku bumi pertiwi.



Membeli Lepat dan ketupat di Geylang

Dijadikan bekalan anggota tentera

Masyarakat kita Masyarakat Gemilang

Berpadulah kita Membangunkan negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >