Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

NParks umum huraian semula jadi lindungi pantai Ubin

Projek lindungi kawasan daripada hakisan pantai serta kenaikan paras laut pada masa depan
Sep 26, 2021 | 05:30 AM



LEMBAGA Taman Negara (NParks) akan memulakan dua projek perlindungan pantai berdasarkan kaedah alam semula jadi di bahagian utara dan selatan Pulau Ubin tahun depan.



Projek itu akan melindungi kawasan tersebut daripada hakisan pantai serta kenaikan paras laut pada masa depan.



Usaha itu menyusuli langkah serupa yang telah dilaksanakan NParks di Pulau Tekong serta di kawasan Kranji.



Inisiatif bagi Pulau Ubin itu telah diumumkan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee semalam di acara tahunan Pesta Biodiversiti, yang meraikan hidupan liar asli Republik ini.



Diadakan buat kali ke-10, acara itu semalam turut dihadiri Presiden Halimah Yacob.



"Kami akan memulakan dua projek baru perlindungan pantai yang lebih meluas di Pulau Ubin. Ini akan dilakukan dengan kerjasama masyarakat: satu di pantai utara, dan satu lagi di selatan, di Sungei Durian," kata Encik Lee semasa berucap di Kebun Bunga Singapura.



"Ini akan memulihkan pantai pulau dan habitat bakau, dan mengembalikan lebih banyak biodiversiti pulau itu dengan menangani hakisan dan kehilangan habitat yang berterusan."



Pantai utara Ubin kini menghadapi hakisan, disebabkan perubahan penggunaan tanah di pulau itu serta kesan gelombang dan lalu lintas kapal.



Pulau tersebut digunakan untuk perlombongan granit pada abad ke-19, dan kemudian untuk akuakultur.



Kerja pemulihan di sepanjang 2.2 kilometer pesisir pantai itu dijangka bermula tahun depan menggunakan gabungan infrastruktur semula jadi dan buatan manusia.



Ini termasuk pemasangan batu perisai untuk membentuk struktur seperti tebing, atau tanjung, dan ditambah dengan pasir, kata NParks.



Ini akan mewujudkan pantai tidak rata berbentuk gelombang yang akan membantu meluaskan kawasan pinggir laut.



Hakisan pantai juga menjejas bakau yang tumbuh di pantai utara Ubin.



NParks merancang mencegah kehilangan pohon bakau di sana dengan membina struktur batu di sepanjang pantai untuk bertindak sebagai penghalang antara laut dan pasir.



Tanah dalam beg biodegradabel akan diletakkan di bawah batu itu untuk mendorong pertumbuhan semula jadi tanaman bakau di sepanjang struktur batu itu.



Bagi pantai selatan Ubin pula, NParks berkata ia akan bekerjasama dengan saintis, sukarelawan dan kumpulan pemuliharaan laut untuk menilai bagaimana kolam akuakultur yang terbengkalai di sana dapat dijadikan habitat bakau.



Walaupun kolam-kolam telah lama dibiarkan, bakau tumbuh semula hanya di bahagian lebih cetek kolam itu, yang kedalamannya boleh mencapai lima meter.



Semalam, NParks juga mengumumkan bahawa ia telah menyertakan 10 spesies terumbu karang dalam program pemulihan spesies untuk memastikan ia dapat terus hidup.



Ini sedang beberapa spesies yang penting bagi hidupan laut ini terjejas dengan pemanasan global.



Spesies terumbu karang ini akan dipelihara di sebuah tapak di Pulau Sekijang Bendera (Pulau St John's), dan apabila bersedia nanti akan ditanam di Taman Laut Pulau Subar Laut dan Pulau Subar Darat (Pulau Sisters').



Di antara 10 spesies tersebut adalah: Micromussa amakusensis, spesies baru yang direkodkan di Singapura pada tahun 2019, dan Trachyphyllia geoffroyi, karang unik yang berbentuk seperti angka "8".



Batu karang keras terdiri dari lapisan paling luar tisu hidup dan kerangka kalsium karbonat, dan merupakan pembangun terumbu karang, yang membantu memberi tempat teduh kehidupan laut dan mengembangkan ekonomi melalui perikanan dan pelancongan eko.



Kerangka kalsium karbonat mereka menyediakan sudut dan celah untuk hidupan laut lain seperti anak ikan, ketam dan siput laut untuk mencari perlindungan.



Tetapi karang keras juga sensitif terhadap kenaikan kecil suhu permukaan laut - menjadikannya antara petanda utama berlakunya pemanasan di lautan.



Apabila terlalu panas, ia mengeluarkan alga simbiotik yang hidup di bahagian lipatan dan kehilangan sumber nutrien utama, menyebabkan mereka berubah menjadi putih dalam fenomena yang dikenali sebagai pemutihan batu karang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >