PUSAT Polis Kejiranan (NPC) Geylang yang baru setinggi lima tingkat akan dibina untuk menggantikan bangunan lama, yang telah beroperasi sejak 2000.
NPC Geylang akan dipindahkan dari bangunan tiga tingkat yang kini terletak di 132, Paya Lebar Road, ke lokasi baru di depan Blok 42, Cassia Crescent, di kawasan Guillemard.
Bangunan baru ini dijangka beroperasi menjelang pertengahan tahun 2019, lapor The Straits Times.
Majlis pecah tanah bagi bangunan NPC baru ini diadakan semalam dan pembinaan dijangka bermula bulan ini.
Sewaktu memberikan ucapannya, Timbalan Speaker Parlimen, Encik Lim Biow Chuan, berkata penempatan semula Geylang NPC sejajar dengan persekitarannya yang berubah.
"Sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) 2014, Paya Lebar Central akan dibangunkan menjadi sebuah pusat komersial yang bersepadu dengan pejabat, ruang awam dan runcit menarik yang mempunyai pelbagai aktiviti.
"Justeru, penempatan strategik Geylang NPC ke Cassia Link, seiring dengan perubahan di kawasan itu, akan membolehkan pihak polis menjaga keselamatan kawasan kejiranan kita dengan lebih baik," kata Encik Lim, yang juga Anggota Parlimen (AP) Mountbatten SMC.