HAMPIR $7 juta berjaya dikumpul Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) tahun ini hasil derma penyokongnya dan orang ramai.
Jumlah tersebut digunakan untuk membantu 15,000 ahli kesatuan dan anggota keluarga mereka melalui pelbagai program bantuan yang disediakan NTUC, kata pergerakan pekerja itu dalam kenyataannya semalam.
NTUC berkata bantuan yang diberikan menerusi Dana Jagaan NTUC-U (Dana U Care) itu bertujuan membantu ahli kesatuan yang berpendapatan rendah mengharungi pelbagai cabaran kewangan.
"Memandangkan inflasi yang semakin meningkat tahun ini, Dana Penjagaan NTUC (Bantuan Khas) telah diperkenalkan pada Ogos lalu, dengan pengagihan satu kali tunai sehingga $150.
"Bantuan itu bertujuan meringankan kos barangan keperluan harian yang semakin meningkat," kata NTUC.
Sehingga kini, lebih daripada $1 juta telah diagihkan untuk memberi manfaat kepada lebih daripada 8,000 anggota.
Menurut penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Zainal Sapari, melalui Dana NTUC U Care, NTUC akan terus komited untuk membantu ahli kesatuan mereka bagi mengharungi cabaran dan menyediakan mereka dengan bantuan kewangan demi mengurangkan sedikit tekanan kos yang mungkin mereka hadapi.
"Kami berterima kasih kepada rangkaian gerakan buruh dan para penderma yang dihormati, yang berdedikasi untuk berbuat baik dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
"Bersama-sama dengan rakan-rakan kongsi kami, Dana U Care akan meneruskan usaha kami dalam membantu ahli kesatuan agar menjadi lebih kuat dan berdaya tahan dalam menghadapi kesusahan," tambah beliau, yang juga pengarah Jabatan NTUC Care and Share.
Tahun ini sahaja, lebih 100 kesatuan, korporat dan yayasan menyumbang kepada dana itu, dengan sumbangan daripada Yayasan Buruh Singapura, dan NTUC Social Enterprises yang terdiri daripada NTUC Income, FairPrice Foundation dan Mercatus Co-operative.
Jumlah keseluruhan yang dikutip adalah sekitar $4.2 juta.
Selain itu, lebih $900,000 turut disumbangkan secara kolektif oleh kesatuan dan persatuan yang bersekutu dengan NTUC yang terus menunjukkan sokongan mereka terhadap usaha ini.