UNIVERSITI Nasional Singapura (NUS) sedang mengambil lebih banyak langkah dalam menangani salah laku seksual yang melibatkan anggota fakulti institusi itu menyusuli satu semakan ketetapan terkini.
Dalam satu e-mel pekeliling yang dikirimkan kepada mahasiswa, kakitangan dan alumni pada Khamis (17 Disember), Presiden NUS, Profesor Tan Eng Chye, telah membentangkan langkah yang akan dilaksanakan pihak universiti demi memperkukuh proses menangani kes salah laku seksual yang melibatkan latihan kakitangan dan orang yang berada di tempat kejadian.
Kebanyakan langkah ini akan dilaksanakan dalam masa beberapa bulan mendatang,
NUS, jelas Profesor Tan, merancang membangun dasar salah laku seksual buat kakitangan dan mahasiswa. Ia juga akan mengeluarkan laporan setiap enam bulan mengenai kes salah laku seksual melibatkan kakitangan dan/atau mahasiswa NUS.
Namun, fakta setiap kes akan ditapis bagi mengelakkan mangsa daripada dikenal pasti.
NUS, tambah Profesor Tan, akan juga memperkenalkan kursus ulang kaji buat kakitangan dan siswa bagi menekankan perlunya rasa hormat dan kebenaran di samping meneroka latihan buat sesiapa yang berada di tempat kejadian. Latihan ini menekankan pentingnya mengesan salah laku seksual dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Institusi ini juga mempunyai rancangan mengendalikan bengkel bagi membina budaya inklusif dan menghormati orang lain di kampus dan memperkukuh latihan buat kakitangan yang mungkin merupakan orang pertama yang memberi respons dalam kes salah laku seksual ini," katanya.
Beliau turut menambah Unit Jagaan Mangsa yang kini menyokong mangsa salah laku seksual yang merupakan pelajar akan diberi nama baru, Unit Jagaan NUS. Menjelang suku kedua tahun depan, unit ini akan diberi sumber bagi memperluas sokongan kepada kakitangan NUS.