NWC lakar garis panduan bantu syarikat harungi wabak Covid-19, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:39
Syuruk
6:56
Zuhur
1:00
Asar
4:00
Maghrib
7:03
Isyak
8:12
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat3

NWC lakar garis panduan bantu syarikat harungi wabak Covid-19

Meliputi saranan gaji dan latihan pekerja
Mar 31, 2020 | 05:30 AM

MAJLIS Gaji Kebangsaan (NWC) menggesa majikan supaya mempertimbangkan pemberhentian kerja hanya sebagai pilihan terakhir, dalam senarai saranan yang dikeluarkannya semalam.

Sebaliknya, majlis itu menekankan bahawa majikan yang terjejas dengan Covid-19 harus berusaha mengurangkan kos bukan gaji dan memanfaatkan sokongan pemerintah selain meneruskan usaha transformasi perniagaan dan tenaga kerja terdahulu.

Langkah mengurangkan kos gaji harus dilakukan hanya oleh majikan yang perlu melakukannya, saran majlis tersebut.

Semalam, NWC mengeluarkan garis panduan 2020/2021 yang mengandungi saranan berhubung gaji dan latihan dalam usaha membantu syarikat menangani cabaran daripada wabak Covid-19 yang telah mencetuskan ketidakpastian dan menyebabkan ekonomi terjejas.

Mengenai latihan, majlis itu menggesa syarikat agar memberi tumpuan pada latihan dan peningkatan kemahiran pekerja serta mengadakan latihan yang telah dirancang bagi kakitangan mereka lebih awal.

Mereka juga digesa agar mengamalkan jadual pekerjaan fleksibel selain menyokong pekerja terjejas yang ingin mendapatkan pekerjaan kedua untuk menambahkan pendapatan, melaksanakan daya usaha reka semula pekerjaan lebih awal dan melatih pekerja menjalankan peranan baru dan membentuk Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) dengan gerakan buruh.

Dalam pada itu, majlis tersebut juga menyarankan agar majikan menyokong pekerja setempat, yang terjejas dengan langkah seperti waktu bekerja dikurangkan atau pemberhentian kerja sementara, yang ingin mendapatkan pekerjaan kedua demi menambahkan pendapatan mereka semasa pandemik Covid-19 ini.

Majlis itu antara lain turut memberikan saranan mengenai pertimbangan utama yang harus diambil majikan sekiranya mereka perlu memotong gaji pekerja demi menyelamatkan pekerjaan.

Mereka menggesa pihak pengurusan syarikat agar menerajui contoh dalam mengurangkan gaji dan berusaha membayar Tambahan Gaji Tahunan (AWS), atau bayaran bulan ke-13, kepada pekerja, sejauh mana mereka boleh.

Dalam saranannya bagi majikan menguruskan kos gaji secara adil, majlis itu berkata majikan boleh mempertimbang untuk menyesuaikan komponen berubah-ubah bulanan (MVC).

Ini jika majikan tidak boleh tunggu hingga hujung tahun untuk menyesuaikan bayaran bonus berubah-ubah dan komponen berubah-ubah tahunan lain.

MVC, yang dilaksanakan sekitar 11 peratus syarikat di sini, adalah sebahagian daripada gaji asas dan membolehkan majikan menyesuaikan gaji dengan pantas sebagai respons kepada perubahan dalam sekitaran perniagaan.

Bagi baki kira-kira 90 peratus majikan yang tidak melaksanakan sistem MVC, mereka boleh mempertimbang untuk menganggap potongan gaji asas hingga 10 peratus, atau lebih bagi pihak pengurusan, sebagai potongan MVC.

"Majikan harus menetapkan garis panduan jelas untuk mengembalikan potongan MVC atau gaji asas menerusi kenaikan gaji pada masa depan atau penyesuaian apabila perniagaan pulih," kata majlis itu dalam garis panduannya.

Bagi golongan pekerja bergaji rendah dengan pendapatan bulanan sehingga $1,400, majlis itu berkata pertimbangan khas harus diberikan kepada mereka, terutamanya yang bertugas dalam pekerjaan barisan depan Covid-19.

Majlis itu menyarankan agar majikan membekukan gaji golongan pekerja itu sekiranya syarikat mereka melaksanakan potongan gaji.

Sekiranya syarikat merancang membekukan gaji atau menaikkan gaji, majikan harus mempertimbang memberikan kenaikan gaji tetap (built-in wage increase) sehingga $50 kepada mereka.

Majlis itu turut menyarankan agar majikan memberikan bayaran ganjaran sebagai tanda muhibah (ex gratia) kepada pekerja bergaji rendah yang telah berusaha gigih dalam membantu perniagaan semasa waktu mencabar ini.

Sekiranya majikan tiada pilihan lain dan terpaksa memberhentikan pekerja, mereka harus memilih pekerja secara adil dan berdasarkan kriteria objektif, seperti keupayaan pekerja menyumbang kepada keperluan perniagaan masa depan syarikat.

Mereka juga antara lain perlu memaklumkan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan mendekati kesatuan yang relevan seawal mungkin, memberikan tempoh notis lebih lama, menyediakan manfaat pemberhentian kerja dan membantu kakitangan terjejas mencari pekerjaan lain.

NWC yang dianggotai tiga pihak - majikan, pekerja dan wakil pemerintah - telah bertemu lebih awal pada bulan ini untuk membincangkan isu pendapatan dan pekerjaan. Sebelum ini, mereka sering bertemu pada April dan Mei.

Pemerintah, yang akan menyediakan bantuan hampir $55 bilion secara keseluruhannya untuk menyokong pekerja dan perniagaan semasa waktu mencabar akibat Covid-19 ini, telah menerima semua saranan dalam garis panduan NWC itu.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Mary Liew, dalam kenyataannya berkata rakan tiga pihak telah bersetuju bahawa transformasi perniagaan dan tenaga kerja adalah penting bagi syarikat dan pekerja mempersiapkan diri mereka untuk situasi yang bertambah baik kelak.

"NTUC menggesa syarikat, yang belum membentuk Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC), untuk bekerjasama dengan gerakan buruh untuk melakukan demikian demi membina keupayaan pembelajaran di tempat kerja, melakukan Peta Jalan Ops-Tech dan melakarkan semula strategi perniagaan mereka.

"Ini supaya apabila ekonomi bertambah baik nanti, perniagaan dan pekerja akan bersedia mengharungi gelombang itu," kata beliau.

Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo, menggesa majikan agar mengamalkan saranan tersebut untuk membantu mengurangkan kesan daripada pandemik itu.

"Respons pantas NWC ini menunjukkan keunikan dan kekuatan kerjasama tiga pihak di Singapura. Ia juga bukti kepada komitmen rakan tiga pihak untuk melakukan apa yang betul.

"Dalam masa yang baik, kita mengongsi keuntungannya. Dalam masa krisis, kita mengongsi kesakitannya - setiap daripada kita membuat pengorbanan bersama untuk mengekalkan perniagaan dan menyelamatkan pekerjaan," kata Cik Teo dalam satu kenyataan semalam.

Infografik:

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map