ORANG awam kini boleh berkhidmat sebagai sukarelawan Duta Masyarakat Mobiliti Aktif (AMCA) untuk menggalak perkongsian laluan jalan dengan lebih baik dan berbaik budi.
AMCA yang dikenali sebagai Rondaan Mobiliti Aktif (AMP) sebelum ini, telah dilancarkan oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, hari ini. (12 Nov)
Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Skim sukarelawan AMP yang diperkenalkan LTA pada 2016 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berhubung peraturan berkaitan mobiliti aktif.
Sejak itu, LTA telah menjadi rakan kongsi kepada sukarelawan masyarakat utama seperti pertubuhan akar umbi (GRO) dan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) untuk menganjurkan inisiatif mendekati orang awam.
Ini termasuk rondaan di kawasan kejiranan untuk menggalak sikap mengongsi laluan selamat dan berbaik budi, serta acara berbasikal untuk menggalak tabiat berbasikal dengan selamat.
Skim sukarelawan ini juga kekal sebagai benteng penting dalam usaha pendekatan pendidikan awam negara.
Menurut LTA, selain peraturan yang diperkukuh dan penguatkuasaan kerap sepanjang tahun, usaha pendekatan melalui pendidikan telah menunjukkan kemajuan dalam keselamatan laluan jalan sejak kebelakangan ini.
Demi menyokong sukarelawan, baru-baru ini LTA telah memperkenalkan sebuah buku bimbingan sumber untuk membantu golongan ini dalam merancang inisiatif pendekatan mereka.
LTA turut akan melanjutkan skim AMCA kepada orang awam termasuk kumpulan dan pertubuhan yang mengongsi visi dalam membangunkan budaya mengongsi laluan yang mampan dan baik budi.
“Menerusi ini, kami berharap untuk memperkukuh penglibatan warga dengan menggalak mereka memanfaatkan mobiliti aktif yang merupakan cara yang selamat dan mampan untuk berulang alik,” kata LTA.