JUMLAH panggilan 995 kepada Khidmat Perubatan Kecemasan (EMS) Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) meningkat sejak beberapa minggu lalu.
Terdapat 760 panggilan sehari secara purata dalam minggu pertama Julai - dengan bilangan tertinggi adalah 810 - kata SCDF pada Jumaat malam (8 Julai).
Sebelum pandemik Covid-19, secara purata, bilangan harian panggilan EMS adalah sekitar 550.
"Jika panggilan EMS terus meningkat, orang awam mungkin akan mengalami kelewatan dalam respons ambulans, khususnya buat kejadian perubatan yang kurang kritikal," kata SCDF dalam pos Facebook.
Ia sedang memantau rapi keadaan dan telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurus tambahan panggilan. Langkah ini termasuk menyesuaikan diri pada kerahan ambulans ke kawasan dengan kadar panggilan darurat perubatan dan mengutamakan respons pada kes yang mengancam nyawa.
Pesakit yang disahkan paramedik tidak mempunyai kondisi perubatan darurat tidak akan dihantar ke hospital, kata SCDF.
"Pekerja kami yang mengambil panggilan 995, paramedik dan pekerja barisan hadapan berusaha yang terbaik untuk menyediakan pengangkutan pantas ke hospital untuk mereka dengan kondisi perubatan yang mengancam nyawa dan kes kecemasan," katanya.
Orang awam dinasihati untuk tidak menghubungi 995 jika mereka tidak mengalami sebarang kondisi perubatan yang mengancam nyawa atau dianggap kecemasan.
Kondisi darurat kritikal termasuk sakit dada, kepayahan bernafas, pening atau kecelaruan fikiran yang datang tiba-tiba atau kelemahan tubuh dan anggota badan, kepayahan berbual atau muka yang terkulai, pendarahan berlarutan daripada kecederaan, tidak sedarkan diri dan enjotan badan atau sawan yang tidak dapat dijelaskan sebabnya.
"Dengan melakukan demikian, SCDF boleh terus menyediakan pengangkutan pantas bagi mereka yang memerlukan khidmat perubatan kecemasan kami," tambahnya.