Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG RAMADAN

Orang ramai boleh jangka hampir 2,000 gerai di 13 bazar utama

Termasuk di bazar sekitar Geylang Serai, Woodlands, Kampong Gelam, Tampines dan Punggol
May 05, 2019 | 05:30 AM



MULAI hujung minggu ini, orang ramai boleh menjangkakan pelbagai bazar yang timbul di hampir setiap pelosok Singapura sempena Ramadan.



Tinjauan Berita Minggu menunjukkan bahawa orang ramai boleh menjangkakan hampir 2,000 gerai di sekurang-kurangnya 13 bazar utama di serata Singapura Ramadan ini, baik bazar hujung minggu mahupun sebulan.



Ini termasuk di bazar sekitar kawasan Geylang Serai, Woodlands, Kampong Gelam, Tampines dan Punggol.



Di kawasan Geylang Serai sahaja, dipercayai terdapat sekitar 800 gerai.



Tahun ini, Bazar Raya Geylang Serai yang diselaraskan Wisma Geylang Serai (WGS) menampilkan sebanyak 700 gerai.



Bazar tersebut terletak di sekitar kawasan WGS, Geylang Road dan di depan Pasar Geylang Serai.



Orange Travel dan Enniche Global Trading - sebuah konsortium yang terdiri daripada Enniche Events, Happy Fun Fair Events dan KB Live Fest - memenangi tender mengendali bazar tersebut.



Ketika dihubungi akhbar ini, konsultan bersama Orange Group, Encik Osman Ariffin, serta pemilik dan pengarah Enniche Events, Encik Mohamed Mustaffa Shah Jehan, yang menerajui konsortium Enniche Global Trading, berkata mereka menerima sambutan yang menggalakkan, dengan kebanyakan gerai yang ditawarkan berjaya disewakan.



Malah menurut Encik Osman, mereka mendapat tempahan gerai daripada peniaga dalam masa dua jam sahaja selepas mula menawarkan tempat untuk disewa.



"Sehingga minggu pertama April, sekitar 65 peratus gerai kami sudah disewa.



"Selain peniaga yang sudah biasa sewa gerai daripada kami, kami juga berjaya menarik peniaga kali pertama yang membentuk 15 peratus penyewa secara keseluruhan," ujarnya.



Demi menangani isu kos sewa gerai tinggi sejak beberapa tahun lalu, sewa bagi Bazar Raya Geylang Serai dihadkan kepada $14,000 tahun ini.



Lebih banyak barangan khusus Hari Raya dan makanan tradisional Melayu pula akan dijual di bazar itu tahun ini, dengan semua makanan yang ditawarkan halal.



Sementara itu, beberapa bazar turut diadakan di tempat lain di sekitar Geylang Serai termasuk di SingPost Centre dan dekat City Plaza, lantas menambah lagi kemeriahan kepada suasana menjelang Syawal.



Bazar Raya Utara 2019 yang berlangsung di sebelah Causeway Point di Woodlands pula menampilkan sekitar 90 gerai dan dikendalikan MegaXpress International.



Menurut Pengurus Projek Kanan MegaXpress, Cik Vivienna Hamzah, mereka turut mendapat sambutan baik daripada peniaga, dengan kesemua gerai di bazar yang akan berlangsung hingga 1 Jun itu telah disewakan.



MegaXpress International juga akan menganjurkan bazar di Singapore Expo dari 23 hingga 26 Mei.



Di Punggol, orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak gerai, kegiatan dan sesi berbuka puasa bersama artis di Vintage Ramadhan Bazaar@Kampong Punggol anjuran FG Empire Delights berbanding tahun lalu.



Menurut Pengarah FG Empire Delights, Cik Rabeah A. Gani Polanunu, ini merupakan kali kedua mereka menganjurkan bazar Ramadan di Punggol itu.



"Tahun ini, kami memberi tumpuan memastikan semua makanan yang dijual halal.



"Kami juga akan menampilkan persembahan oleh pelbagai artis termasuk Ucop Mentor, Sufi Rashid dan Azmi Caliph Busker," ujarnya sambil menambah, ruang bagi bazar itu tahun ini juga lebih luas berbanding tahun lalu.



Selain bazar yang akan berlangsung sepanjang Ramadan, orang ramai juga boleh menikmati juadah dan membeli-belah di bazar yang akan diadakan pada hujung minggu.



Ini termasuk tiga bazar hujung minggu yang akan dianjurkan syarikat RoseValley - di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec (CelebFest Ramadan), Singapore Expo (The Grand Souq) dan Baghdad Street (WOW! Bulan).



Sehingga beberapa hari lalu, kesemua gerai bagi CelebFest sudah disewakan manakala hampir kesemua gerai bagi WOW! Bulan edisi Mei telah mendapat penyewa.



Sementara itu, sekitar 75 peratus gerai The Grand Souq juga telah disewakan.



Tahun lalu, RoseValley dilantik sebagai penganjur yang bertanggungjawab secara keseluruhan bagi bazar Ramadan yang berlangsung sepanjang sebulan di Tampines.



Namun, tahun ini, Pengasas Bersama dan Pengarah RoseValley, Cik Dian Rasid-Heng, berkata mereka ingin memberi tumpuan hanya menganjurkan bazar hujung minggu.



"Ini satu keputusan yang kami ambil tahun ini.



"Kami percaya inilah yang terbaik bagi vendor dan pengunjung yang telah bersama kami sejak awal," kata Cik Dian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >