Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Orang ramai diminta beri maklum balas bagi draf semakan Amla

Mar 14, 2017 | 05:23 PM



KEMENTERIAN Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) hari ini mengusulkan lakaran bagi semakan ke atas Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), yang secara umumnya mencakupi soal pengurusan wakaf, memperkukuh institusi keluarga serta pengukuhan institusi Islam di sini.



Untuk itu, ia ingin mendapatkan maklum balas orang ramai bagi usulan semakan yang dibuat ke atas rang undang-undang itu sebelum dibentangkan di Parlimen kelak.



Dalam kenyataannya, MCCY berkata semakan ini turut melibatkan semakan teknikal bagi mengemaskini tatacara sedia ada "yang dapat memperkukuh pengurusan pengamanah wakaf selain mengadakan dana terikat untuk setiap wakaf bagi menyokong keperluan penyenggaraan dan pembangunan wakaf itu sendiri".



Menyentuh soal pengukuhan institusi keluarga pula, semakan ini akan "memerlukan pasang muda menghadiri kursus perkahwinan sebelum pernikahan; (dan) keperluan mendapatkan izin ibu bapa bagi pasangan muda yang ingin bernikah".



MCCY juga menyatakan, semakan yang diusulkan ini bila diluluskan kelak, turut "akan membenarkan pasangan dirujukkan untuk menjalani kaunseling atau program sokongan keluarga, di mana-mana peringkat prosiding perceraian mereka; dan, mendapatkan keputusan lebih baik berhubung soal pemilikan rumah, dan pengurusan pusaka".



Dalam soal wakaf misalnya, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan mempunyai peranan lebih besar dalam pelantikan pengamanah bagi pentadbiran tanah wakaf di mana antara perubahan utama menyentuh keperluan dalam mendapatkan kebenaran Muis, yang harus diberikan secara bertulis, sebelum pengamanah dapat dilantik bagi mentadbir hartanah wakaf yang diwasiatkan oleh seseorang Muslim.



Ini demi mengukuh tanggungjawab Muis dalam mentadbir kesemua wakaf, kata MCCY dalam kenyataannya hari ini.



Satu lagi perubahan pula menyentuh keperluan mendapatkan kebenaran Muis sebelum prosiding mahkamah bagi mengeluarkan atau melantik pengamanah wakaf dapat dimulakan.



Dalam kenyataannya hari ini, MCCY menukil kes Mahkamah Tinggi tahun lalu, di mana pengamanah bagi Amanah Kebajikan Valibhoy mahu mengeluarkan dan menggantikan seorang pengamanah.



Mahkamah membatalkan permohonan kerana menganggap bidang kuasa untuk melakukan demikian hanya dipertanggungjawabkan kepada Muis.



"Usulan semakan ini adalah bertujuan untuk memastikan Muis dimaklumkan tentang mana-mana pertikaian melibatkan pengamanah, dan sekiranya boleh, berusaha menghuraikannya lebih awal supaya pengurusan berterusan untuk wakaf itu tidak terjejas," kata MCCY.



Dalam soal perkahwinan pula, semakan kali ini akan menetapkan bahawa pasangan muda, di mana salah seorang pengantin berusia di bawah usia 21 tahun, mesti mengikuti kursus perkahwinan sebelum pernikahan dapat dilangsungkan.



Semakan bagi perceraian pula akan membolehkan lelaki mengemukakan permohonan untuk bercerai sebagai plaintif tanpa perlu melafazkan talak.



Sekarang ini, hanya wanita sahaja boleh membuat permohonan untuk bercerai, sementara lelaki hanya boleh berbuat demikian selepas melafazkan talak.



Usulan bagi semakan kali ini turut melibatkan peluasan penggunaan Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), yang antara lain membolehkan Dana ini disalurkan bagi pembelian bidang tanah yang baharu atau tambahan, selain memajakkan tanah atau hartanah, bagi masjid sedia ada atau masa depan.



Orang ramai boleh meneliti usulan penuh semakan Amla di laman www.reach.gov.sg



Setiap maklum balas harus dikemukakan sebelum 6 petang 13 April ini sama ada menerusi e-mel ke amlafeedback@mccy.gov.sg atau mengirim secara pos ke alamat berikut:



Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY)



Jabatan Perhubungan Masyarakat, Aras 2, Old Hill Street Police Station, Singapura 179369.



Sila berikan nama penuh dan pertubuhan yang diwakili, jika ada, selain butiran perhubungan (e-mel atau nombor telefon) bagi membolehkan pihak kementerian berhubungan untuk mendapatkan penjelasan bagi perkara-perkara yang dibangkitkan, jika perlu.



* Artikel ini telah dikemas kini bagi menambah ketepatannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >