ORANGE Ballroom LLP telah dikenakan tuduhan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) kerana didakwa melanggar langkah pengurusan selamat (SMM) bagi majlis pernikahan dan persandingan di bawah Peraturan Covid-19 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, SLA berkata pada 30 Januari 2021, syarikat tersebut telah membenarkan 235 hadirin menyertai majlis perkahwinan di The Orange Ballroom di Tanjong Katong Complex.
Jumlah hadirin yang dibenarkan ketika itu ialah 100 orang.
Ia juga telah membenarkan lebih 50 hadirin menyertai setiap daripada tiga majlis resepsi perkahwinan yang diadakan pada hari itu; serta membenarkan 18 hadirin menyertai beberapa resepsi, sekali gus gagal memastikan hadirin hanya boleh menyertai slot resepsi yang ditentukan bagi mereka, kata SLA.
Pihak berkuasa tersebut juga telah mengenakan tuduhan ke atas Osman Arrifin, pengatur majlis perkahwinan yang sama pada 30 Januari 2021 dengan dua tuduhan di bawah Peraturan Covid-19 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020.
Dia dikatakan gagal memastikan tetamu yang sudah diberi slot masa tertentu tidak menyertai slot masa lain dan tidak memastikan jumlah hadirin terhad pada 100 orang sahaja.
Kedua-dua syarikat Orange Ballroom LLP dan Osman Arrifin akan dihadapkan ke mahkamah esok, 10 November.