Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN: LAPORAN PEJABAT JURUAUDIT NEGARA (AGO)

PA lantik Ernst & Young bagi semak sistem tadbir urus, kontrak

Langkah diambil selepas AGO temui pembayaran berlebihan kepada kontraktor
Sep 14, 2021 | 05:30 AM



PERSATUAN Rakyat (PA) telah melantik firma perakaunan terbesar Singapura untuk menyemak sistem tadbir urus selain mengawal fungsi pengurusan kontrak, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong.



Menjawab pertanyaan Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar), Encik Tong berkata PA telah melantik firma Ernst & Young, satu daripada empat firma perakaunan terbesar Singapura bagi memperkukuhkan sistem audit. Dapatannya akan dikongsi kepada awam apabila siap kelak.



Firma konsultan itu akan menjalankan audit dan semakan proses perniagaan, berhubung pengurusan kontrak PA bagi projek pembangunan dan pengurusan kemudahan sepanjang beberapa tahun ini selain meneliti struktur pemerintahan bagi kompleks masyarakat bersepadu lain.



Ia juga akan menawarkan saranan untuk memperkukuh pengawasan bagi semua projek pembangunan.



"Konsultan luaran itu akan mempunyai mandat luas untuk melakukan semakan. Ia akan memberikan saranan bagi memperbetul kelemahan atau sebarang kesalahan yang dikesan, selain mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki daripada segi keberkesanan dan ekonomi," kata Encik Tong.



"PA akan menerima saranan tersebut, memperbaiki proses apabila diperlukan dan melaksanakan pengawasan dengan lebih baik."



Encik Tong berkata demikian di Parlimen berhubung langkah pemulihan dan siasatan dalaman oleh PA menyusuli dapatan audit tahunan Pejabat Juruaudit Negara (AGO) untuk dua projek pembangunan besar yang diuruskannya, iaitu Our Tampines Hub dan Heartbeat @ Bedok (HBB).



PA mungkin telah membayar kontraktor secara berlebihan dengan anggaran sebanyak $60,000 bagi dua projek binaan, menurut satu semakan dalaman.



Ini adalah tambahan kepada sekitar $2 juta yang mungkin telah dibayar secara berlebihan bagi bahan pembinaan bagi OTH, yang telah dikenal pasti AGO.



Encik Tong memberitahu Dewan bahawa pemerintah memerlukan agensi untuk mengamalkan penyesuaian turun naik harga penuh bagi pembangunan dengan nilai kontrak lebih $5 juta.



Ini merujuk kepada penyesuaian bayaran yang mengambil kira perubahan pada harga bahan mentah seperti konkrit dan keluli tambahan yang diperlukan sepanjang tempoh projek.



Memberikan respons terhadap Ketua Pembangkang Pritam Singh (GRC Aljunied), Encik Tong, berkata PA telah menyemak 31 pembangunan pembinaan awam selepas laporan AGO, yang mendedahkan bahawa dua projek telah salah mengamalkan had penyesuaian turun naik harga sebanyak 70 peratus sepanjang tujuh tahun, sama dengan kontrak binaan utama OTH.



PA telah pun memastikan peruntukan bagi semua kontrak binaan biasa adalah jelas dan tetap, katanya, bagi memastikan ia lebih jelas dan mematuhi bagaimana penyesuaian turun naik harga harus dilaksanakan.



Encik Singh, Cik Foo Mee Har (GRC West Coast) dan Encik Sitoh Yih Pin (Potong Pasir) juga telah bertanyakan tentang kesilapan berkaitan variasi kontrak semasa pembinaan OTH dan HBB serta penyelewengan yang timbul semasa operasi dan fasa penyelenggaraan kemudahan di OTH.



Encik Tong juga berkata PA telah meneliti kesemua 252 kes kesilapan berkaitan variasi kontrak bagi OTH yang dikenal pasti AGO dan sedang melakukan semakan penuh bagi baki variasi kontrak bagi kedua-dua OTH dan HBB melebihi apa yang telah diaudit AGO.



"PA sedang melakukan demikian untuk memastikan variasi kontrak lain dijalankan dengan kelulusan yang sewajarnya dan dokumentasi betul dan jika tidak, mengambil langkah pemulihan sewajarnya," katanya.



Cik Foo berkata kesilapan yang ditemui AGO adalah "membimbangkan" dan bertanya jika kesilapan dalam pengurusan kontrak adalah sistemik merentasi projek pembangunan bagi 788 kemudahan masyarakat yang diuruskan PA.



"Kesilapan, sejauh ini daripada apa yang kita ketahui, bukan sistemik," kata Encik Tong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >