Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PA mohon maaf guna foto kahwin pasangan tanpa izin

PA
May 30, 2021 | 05:30 AM



PERSATUAN Rakyat (PA) telah memohon maaf kerana menggunakan foto perkahwinan sepasang mempelai Melayu/Islam untuk dijadikan papan kadbod atau standee dengan wajah mereka dipotong sebagai perhiasan sambutan Hari Raya di estet Tiong Bahru, tanpa izin pasangan tersebut.



Foto tersebut - yang memaparkan pasangan itu dengan pakaian tradisional perkahwinan Melayu - telah digunakan sebagai papan kadbod yang diletakkan di atas pentas perhiasan dengan sepanduk menunjukkan Anggota Parlimen bagi kawasan undi Radin Mas, Encik Melvin Yong, menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada para penduduk.



PA telah pun mengalihkan papan tersebut.



Dalam siri kisah Instagram yang dimuat naik kelmarin dan telah menerima lebih 10,000 Likes, Cik Sarah Bagharib, 30 tahun, berkata beliau dimaklumkan mengenai penggunaan foto persandingannya itu oleh dua rakan.



Menurutnya, beliau mahupun suaminya tidak pernah diminta memberi keizinan bagi penggunaan foto berkenaan yang diambil semasa mereka diijab kabul pada 2017.



Cik Sarah, seorang pegawai perhubungan, berkata selain tidak mengendahkan hak peribadinya, beliau juga terkesan bahawa imej itu telah dijadikan karikatur dan digunakan bagi tujuan hiburan.



Di samping itu, beliau juga menarik perhatian bagaimana PA kurang peka dengan menggunakan foto persandingan bagi memaparkan suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri.



"Mereka membesarkan foto kami, potong wajah-wajah kami dan menggunakannya bagi memaparkan sambutan Hari Raya, satu sambutan yang tiada kaitan dengan foto tersebut," katanya.



Sementara itu, dalam kenyataannya, PA menerangkan Pejabat Kawasan Undi Radin Mas telah mendapatkan khidmat vendor, Warabi Enterprise (Art Studio), untuk mereka dan memasang perhiasan Hari Raya di estet Tiong Bahru Orchid.



Vendor tersebut telah menghasilkan konsep dan desain bagi hiasan tersebut dan dalam proses itu memuat turun serta menggunakan foto daripada sumber dalam talian bagi menghasilkan patung papan berkenaan.



Barang-barang perhiasan, termasuk patung papan itu, kemudian dipasang Pejabat Kawasan Undi Radin Mas (CO).



"Ini tidak seharusnya berlaku. Pihak vendor mahupun Radin Mas CO tidak mendapat izin untuk berbuat demikian. Ini melanggar dasar kami. Sejak itu, kami telah memberitahu pihak vendor bahawa ini satu kesalahan serius dan akan mengambil tindakan susulan.



"Apa sekalipun, PA termasuk Radin Mas CO, bertanggungjawab sepenuhnya bagi kesilapan ini kerana kami menyelia perkara tersebut dan perhiasan itu dibenarkan untuk dipasang," kata PA dalam kenyataannya.



Dalam pada itu, Cik Sarah berkata beliau telah mengirimkan surat kepada Encik Yong, Majlis Bandaran Tanjong Pagar dan pengarah eksekutif PA, Encik Lim Hock Yu.



Encik Lim telah membalas e-mel beliau dan memohon maaf manakala Encik Yong menjawab catatan beliau di media sosial.



Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, juga telah memohon maaf kepadanya secara berasingan, menerusi mesej peribadi.



Encik Tong adalah timbalan pengerusi PA.



Meskipun demikian, Cik Sarah ditukil dalam laporan The Straits Times sebagai berkata, beliau berharap akan ada pengakuan kepada umum daripada pertubuhan-pertubuhan terlibat bahawa mereka akan belajar daripada insiden tersebut.



"Harus ada lebih perincian mengenai tindakan yang akan diambil melebihi 'ini adalah insiden yang dipandang serius' iaitu apakah proses yang akan diletakkan supaya kejadian seperti ini tidak berulang," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >