Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Paderi minta maaf kepada Mufti dan masyarakat Islam

Setempat
27
0

Paderi minta maaf kepada Mufti dan masyarakat Islam

Kenyataan pendakwah asing boleh singgung perasaan dan jejas keharmonian
Apr 05, 2018 | 05:30 AM

PADERI kanan Gereja Masyarakat Cornerstone (CSCC), Encik Yang Tuck Yoong, semalam telah memohon maaf sepenuhnya kepada Mufti Singapura Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram dan masyarakat Islam kerana mengundang pendakwah asing yang telah memberi kenyataan tentang Islam.

Kenyataan yang boleh mengundang salah faham dan menjejas keharmonian agama itu dibuat semasa persidangan Kristian anjuran CSCC bulan lalu.

Pendakwah Louis Deen Engle dari Amerika Syarikat itu telah meninggalkan Singapura selepas persidangan tetapi telah diminta kembali ke sini untuk diwawancara, kata polis dalam kenyataan berasingan semalam.

Bercakap kepada media selepas pertemuan di Hab Islam Singapura itu, Encik Yang berkata beliau telah meminta pertemuan itu diadakan untuk memohon maaf.

"Kami datang ke sini untuk memohon maaf dan memperbetulkan (kesilapan) yang berlaku ke atas masyarakat Islam. Kami faham bahawa kenyataan yang dibuat Encik Engle agak melukakan perasaan sejumlah besar orang dan kami ingin memastikan kami menenangkan perasaan orang," ujarnya.

Beliau berkata, gerejanya akan memperketatkan proses pemeriksaan apabila mengundang pendakwah asing ke Singapura pada masa depan, termasuk meminta mereka menandatangani dokumen perundangan supaya tidak berucap dengan cara yang boleh menjejas keharmonian kaum dan agama di sini.

Dr Fatris pula berkata: "Beliau (Paderi Yang) telah meminta maaf sepenuhnya, tanpa sebarang syarat. Beliau mengakui apa yang berlaku itu adalah suatu kesilapan dan beliau berikrar bahawa beliau dan gerejanya tidak akan mengulangi perkara yang sama."

Beliau menambah beberapa pemimpin Islam yang hadir turut menghargai "keikhlasan dan kesungguhannya".

"Saya sendiri menekankan betapa pentingnya pemimpin agama - sama ada bagi pihak orang Islam atau masyarakat Kristian ataupun masyarakat agama lain - amat penting bagi kita menghargai kehidupan bersama yang penuh dengan harmoni, penting bagi kita terus menjaga saluran perhubungan yang terbuka," kata Dr Fatris.

Isu tersebut tercetus selepas wadah berita dalam talian Rice Media melaporkan bahawa Encik Engle, dalam ucapannya di persidangan Kingdom Invasion yang berlangsung di Singapura antara 13 dengan 16 Mac lalu, berkata "orang Muslim sedang mengambil alih selatan Sepanyol dan beliau ingin membangun gereja di seluruh Sepanyol bagi menentang gerakan Muslim moden".

Artikel itu mengundang perbincangan rancak di media sosial, dengan pembaca bersikap prihatin bahawa kenyataan Encik Engle itu boleh menjejas keharmonian agama dan kaum di Singapura.

Dalam kenyataannya minggu lalu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata Encik Engle telah diberikan Pas Kerja Lain untuk berucap di persidangan itu tetapi pihak kementerian "tidak akan bersikap toleran kepada sesiapa yang menjejas keharmonian sosial, kaum dan agama di Singapura".

Menulis di Facebook, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata:

"Saya hargai Paderi Yang telah memohon maaf dan bertanggungjawab sebagai penganjur yang mengundang pendakwah Amerika Lou Engle. Perkataan yang menyebabkan perbalahan dan rasa kurang senang antara masyarakat yang berbeza tiada tempat di Singapura."

Laporan lain: Pertemuan paderi dengan Mufti

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3