Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Pakar: Kuasa ghaib masih cetus minat ramai

Dec 10, 2017 | 05:30 AM



DALAM dunia yang kian terhubung dan dianjak teknologi, kuasa ghaib kekal sebagai tajuk yang masih mencetus minat ramai.



Bagi sejarawan seni, Dr Farouk Yahya, menyelidik sejarah alam ghaib memang menarik, antaranya kerana ia menunjukkan pemikiran manusia yang dikongsi berbilang masyarakat.



"Kepercayaan kepada kuasa ghaib wujud dalam semua masyarakat," ujar Dr Farouk, penolong penyelidik Leverhulme dalam bidang Seni dan Budaya Islam di Muzium Ashmolean di Universiti Oxford, Britain.



"Bagi saya, kuasa ghaib menarik kerana ia topik rumit yang boleh digunakan bagi mencerminkan sifat manusia."



Ditanya tentang sebab kuasa ghaib masih berperanan dalam dunia moden, Dr Farouk berkata:



"Ada kalanya, institusi moden dan sains tidak dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi seseorang dan biasanya pada saat ini, orang itu akan berpaling kepada kuasa ghaib untuk mencari sebab dan penyelesaian bagi masalahnya.



"Satu contoh adalah apabila seseorang jatuh sakit dan rawatan moden gagal mengubatinya, atau apabila seseorang hilang dan pihak berkuasa gagal mencarinya. Daripada sudut peribadi, ada kalanya seseorang memohon kepada Tuhan apabila perlu membuat keputusan penting supaya diberi petunjuk membuat pilihan sebaik-baiknya," ujar Dr Farouk, yang berkata istilah 'kuasa ghaib' atau supernatural yang digunakan dalam kajiannya bukan sahaja merujuk kepada hantu dan alam ghaib malah Tuhan, dewa-dewi dan tokoh keagamaan lain.



Dr Farouk, yang berpangkalan di Britain, berada di Singapura baru-baru ini bagi mengadakan kuliah tentang kaligram - huruf yang disusun supaya membentuk imej - di Pusat Nalanda-Sriwijaya di Institut Pengajian Asia Tenggara Yusof Ishak (Iseas-Yusof Ishak).



Menurutnya, sebagai sejarawan seni, beliau menumpukan kajiannya kepada bahan budaya dan tatapan yang dikaitkan dengan kuasa ghaib, seperti manuskrip tilikan dan kuasa ajaib yang digunakan dalam dunia Melayu purba - sebelum dan sesudah Islam diperkenal.



"Saya meneliti imej yang terkandung dalam buku, termasuk lakaran entiti, haiwan dan desain tangkal. Saya juga menyiasat isu seperti cara imej ini ditampilkan, apa yang diwakilinya dan apa yang boleh disampaikan bahan ini tentang masyarakat yang menggunakannya," katanya.



Menerusi kajiannya itu, Dr Farouk mendapati imej, teks dan teknik yang digunakan bagi menghasilkan manuskrip Melayu bukan sahaja dipengaruhi sejarah Asia Tenggara sebelum Islam diperkenal, malah menunjukkan pengaruh budaya India, Timur Tengah dan China.



"Namun, perkara penting yang perlu ditekankan berkenaan pengaruh asing ini adalah ia telah disesuaikan buat masyarakat di Asia Tenggara supaya ia boleh dimuatkan dalam adat dan pandangan dunia rantau ini," ujarnya.



Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, Dr Farouk mendewasa di Subang Jaya, Selangor, sebelum merantau ke Britain pada 1992 bagi menyelesaikan pengajian pada peringkat GCD 'A' dan sarjana muda.



Beliau kemudian melanjutkan pengajian sarjana dalam jurusan Seni Islam di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS) di Universiti London sebelum menyiapkan tesis doktor falsafah mengenai tajuk manuskrip penilikian dan kuasa ajaib Melayu.



Hasil penyelidikannya itu dibukukan dalam bahasa Inggeris dua tahun lalu dan berjudul Magic and Divination in Malay Illustrated Manuscripts.



Beliau kini terlibat dalam projek dua tahun di Muzium Ashmolean, untuk menyelidik penggunaan tilikan dan tangkal dalam Dunia Islam.



Menurut Dr Farouk, beliau meneliti hampir 11 manuskrip Melayu tentang kuasa ajaib dan penilikan yang diperoleh daripada koleksi di Malaysia, Indonesia dan Britain.



Kebanyakan manuskrip ini, yang berasal dari Malaysia, Singapura, Thailand dan kepulauan Riau di Indonesia, dihasilkan dari lewat kurun ke-18 hingga awal kurun ke-20.



"Imej ini menunjukkan bahawa ada tradisi lukisan dan lakaran Melayu, yang mungkin tidak begitu diketahui berbanding jenis seni Melayu yang lain.



"Kebanyakan imej, teks dan teknik yang digunakan dalam manuksrip ini mempunyai persamaan dengan budaya lain, termasuk yang bukan Muslim, dan berasal dari dalam dan luar Asia Tenggara," kata Dr Farouk.




BIODATA



Nama: Dr Farouk Yahya



Kerjaya:



1. Penolong penyelidik Leverhulme dalam bidang Seni dan Budaya Islam di Muzium Ashmolean di Universiti Oxford, Britain.



2. Penyelidik bersekutu di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS) di Universiti London.



Latar belakang:



Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, Dr Farouk dibesarkan di Subang Jaya, Selangor, sebelum melanjutkan pengajian ke Britain pada 1992.



Selepas meraih ijazah sarjana muda di Sekolah Ekonomi London (LSE), beliau memburu ijazah sarjana di Universiti London SOAS dalam jurusan seni Islam, sebelum menamatkan kursus doktor falsafah mengenai tajuk manuskrip penilikan dan kuasa ajaib Melayu - juga tajuk tesis yang dijadikan buku Magic and Divination in Malay Illustrated Manuscripts.



Dr Farouk, seorang sejarawan seni, kini terlibat dalam projek kajian dua tahun - yang dibiayai oleh Dana Leverhulme - berkenaan 'Penilikan dan Seni dalam Dunia Islam Moden Awal dan Purba'.



Antara lain, beliau membantu ketua penyelidik dan kurator Seni Islam di Muzium Ashmolean, Dr Francesca Leoni, bagi mengusahakan projek berkenaan penggunaan tilikan dan tangkal dalam Dunia Islam.J




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >