Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:29
Maghrib
7:15
Isyak
8:26
Setempat

KORONOVIRUS

Pakej $320,000 Pergas bagi bantu asatizah terjejas Covid-19

Mar 21, 2020 | 05:30 AM

PERSATUAN Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) mengumumkan satu pakej bantuan berjumlah $320,000 bagi menyokong asatizah bebas yang mata pencarian mereka terjejas oleh koronavirus Covid-19.

Di bawah Pakej Rahmah itu, asatizah akan menerima bantuan sekali sebanyak $150 hingga $400, bergantung pada beberapa kriteria, seperti keanggotaan dalam Pergas dan tempat mengajar.

Selepas itu, mereka akan menerima wang tunai hingga $100 atau $300 setiap bulan selama tiga hingga enam bulan, bergantung pada keadaan kewangan mereka.

Pakej itu juga menyediakan peluang bagi asatizah menambah pendapatan mereka dengan menyumbang artikel di wadah media Pergas, atau melatih asatizah lain dalam aspek teknologi maklumat (IT), seperti pembelajaran dalam talian atau media sosial.

Dalam satu kenyataan semalam, Pergas berkata dengan penutupan sementara masjid dan ketiadaan kelas agama disebabkan wabaak Covid-19, sumber pendapatan asatizah terjejas.

Dianggarkan terdapat sekitar 232 asatizah bebas di Singapura.

"Sebahagian daripada tugas Pergas ialah memastikan kebajikan asatizah tempatan dijaga dengan baik, terutamanya semasa tempoh krisis dan ketidakpastian.

"Dengan itu, Pergas akan melancarkan Pakej Rahmah secara berperingkat mulai 20 Mac. Pakej ini disasarkan kepada asatizah bebas dan bekerja sendiri sahaja dan ia memerlukan sokongan masyarakat setempat," kata Pergas.

Pakej Rahmah itu dibahagi kepada empat kategori.

Bagi asatizah bebas anggota Pergas, mereka akan menerima bantuan sekali sebanyak $400 dan bantuan $180 hingga $300 sebulan sepanjang tiga hingga enam bulan akan datang.

Bagi asatizah bukan anggota Pergas yang mengendalikan kelas agama di masjid, mereka akan diberikan bantuan sekali $250 dan $150 sebulan selama tiga hingga enam bulan seterusnya.

Asatizah bukan anggota Pergas yang mengadakan kelas agama di pusat dan penyedia pendidikan Islam (IECP), madrasah dan tempat lain akan menerima bantuan sekali $150 dan sokongan bulanan $100 selama tiga hingga enam bulan.

Pakej itu juga memberi sokongan tambahan kepada asatizah terjejas oleh Covid-19, iaitu $50 hingga $100 bagi setiap artikel yang disiarkan di wadah media Pergas, dihadkan kepada tiga sumbangan artikel seorang.

Asatizah juga boleh melatih dan membimbing asatizah lain tentang cara menggunakan wadah dalam talian pada bayaran $50 sejam, dihadkan tiga jam.

Menurut Pergas, anggotanya yang layak akan dimaklumkan tentang bantuan yang boleh diterima menerusi e-mel yang akan dikirim pada masa terdekat.

Bagi asatizah bukan anggota Pergas, mereka perlu menghantar butiran mereka melalui e-mel ke gp@pergas.org.sg.

Asatizah boleh memilih untuk dikecualikan daripada pakej itu, tambah Pergas.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada pakej tersebut boleh melungsuri laman bit.ly/gracious-package atau www.pergas.org.

Sehingga petang semalam, lebih $5,000 telah disumbang oleh orang ramai kepada pakej itu.


PAKEJ RAHMAH PERGAS

GP1:

- Bagi anggota Pergas

- Bantuan sekali $400

- Bantuan $180-$300 sebulan selama 3 - 6 bulan

GP2

- Bagi bukan anggota Pergas, kendalikan kelas agama di masjid

- Bantuan sekali $250

- Bantuan $150 sebulan selama 3 - 6 bulan

GP3

- Bagi bukan anggota Pergas, kendalikan kelas agama di IECP, madrasah dan tempat lain

- Bantuan sekali $150

- Bantuan $100 sebulan selama 3 - 6 bulan

GP PLUS

- Sokongan tambahan bagi asatizah terjejas Covid-19

- $50-$100 bagi setiap artikel yang disiarkan di wadah media Pergas, dihadkan kepada 3 artikel seorang

- Latih dan bimbing asatizah lain dalam cara menggunakan wadah dalam talian pada bayaran $50 sejam, dihadkan kepada tiga jam

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian