Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pakej bantuan $1.5b disediakan khusus, ambil kira prospek ekon, inflasi

DPM Wong: Pakej disasarkan bagi golongan pendapatan rendah yang mudah terjejas dengan kesan harga lebih tinggi
Jul 05, 2022 | 05:30 AM



PEMERINTAH telah mengambil kira prospek ekonomi dan inflasi terkini dalam merumuskan pakej bantuan $1.5 bilion yang diumumkan baru-baru ini dalam usaha membantu rakyat Singapura menangani tekanan inflasi yang kian meningkat, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.



Encik Wong berkata secara keseluruhan, ekonomi Singapura beroperasi melebihi potensi, dengan harga dijangka terus meningkat dalam beberapa bulan mendatang sebelum stabil menjelang akhir tahun, sejajar dengan kemungkinan trajektori harga global.



Pada masa yang sama, pemerintah terus menjangkakan pertumbuhan sihat dalam pelbagai sektor ekonomi tahun ini.



Sementara itu, pasaran pekerja Singapura kekal ketat, dan kadar pengangguran keseluruhan pula lebih rendah berbanding paras sebelum pandemik Covid-19.



Di bawah keadaan sedemikian, Encik Wong berkata pemerintah perlu mempertimbangkan dengan teliti saiz sebarang langkah sokongan tambahan yang disediakan.



"...ini kerana suntikan kewangan berlebihan pada masa ini boleh memburukkan lagi tekanan inflasi dan dengan mudah menjadi tidak produktif.



"Itulah sebabnya kami telah mereka pakej itu untuk menyediakan bantuan lebih khusus bagi golongan berpendapatan rendah dan golongan mudah terdedah yang amat terjejas oleh kesan harga lebih tinggi," kata beliau.



Encik Wong berkata demikian di Parlimen semalam semasa menjawab soalan lapan Anggota Parlimen (AP) mengenai kecukupan langkah sokongan pemerintah bagi isi rumah warga Singapura di tengah-tengah tekanan inflasi.



Antara bantuan yang disediakan di bawah pakej sokongan $1.5 bilion itu termasuk kredit utiliti $100 bagi setiap isi rumah rakyat Singapura menjelang September, dan habuan sehingga $300 tunai dalam bentuk pembayaran Baucar GST pada Ogos ini untuk sekitar 1.5 juta warga Singapura bergaji rendah hingga pertengahan selain pesara yang tiada pendapatan.



Jika digabungkan langkah tambahan dalam pakej bantuan terkini itu dengan langkah Belanjawan yang diumumkan sebelumnya, Encik Wong berkata pemerintah sebenarnya menyediakan sokongan menyeluruh kepada isi rumah dan perniagaan sepanjang tahun.



Memberi contoh, beliau berkata apabila digabungkan semua langkah bantuan, sekitar 1.5 juta rakyat Singapura berpendapatan rendah hingga pertengahan, termasuk pesara, akan menerima Bayaran Tunai dan Khas - GSTV sehingga $700 pada Ogos ini.



Kesemua isi rumah warga Singapura telah menerima Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) $100 pada Mei lalu, dan akan menerima dua lagi bahagian Baucar CDC $200 setiap satu dalam tempoh dua tahun mendatang.



Namun, Encik Wong menekankan bahawa cabaran di hadapan bukan hanya mengenai menangani harga yang lebih tinggi.



"Kita mesti juga menyesuaikan diri dengan perubahan struktur utama dalam persekitaran operasi kita, termasuk ancaman perubahan iklim dan juga persaingan geopolitik lebih besar antara kuasa besar.



"Semua ini bermakna kita sedang memasuki dunia yang lebih bercabang, tidak dapat diramalkan dan berbahaya," kata beliau.



Oleh itu, Encik Wong berkata Singapura perlu mempercepatkan usaha untuk menyusun semula dan mengubah negara ini bagi persekitaran baru tersebut.



"Khususnya, kita mesti menyahkarbonkan ekonomi kita, belajar beroperasi dengan sumber tenaga manusia lebih rendah sedang penduduk kita menua, dan berusaha untuk pertumbuhan yang lebih inklusif pada tahun-tahun mendatang," kata beliau.



Menjawab soalan susulan Encik Edward Chia (GRC Holland-Bukit Timah) mengenai sokongan untuk ibu bapa dan penjaga, Encik Wong juga berkata selain pakej bantuan terkini itu, beberapa skim sokongan struktur telah dikemas kini baru-baru ini.



Contohnya, sebuah geran untuk penjaga telah dipertingkat baru-baru ini, manakala subsidi penjagaan kesihatan juga telah dinaikkan sedang yuran meningkat.



"Kami terus menyemak dan mengemas kini subsidi dan program ini, termasuk bagi Generasi Perintis, bagi Generasi Merdeka," kata beliau.



Encik Wong menambah bahawa pemerintah juga sedar bahawa akan terdapat golongan - warga emas, ibu bapa dengan anak-anak keperluan khas - yang akan mendapati ia sukar menangani harga lebih tinggi.



"Bagi sesetengah golongan ini, cara untuk membantu mereka bukan hanya melalui bantuan satu kali, tetapi untuk menyesuaikan pembiayaan kami bagi pelbagai program untuk memastikan ia sejajar dengan kadar inflasi dan harga lebih tinggi. Ini kami akan terus lakukan secara kerap," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >