Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peniaga F&B bersiap 'ikat perut' susuli pengumuman sekatan sosial dilanjut

Oct 22, 2021 | 05:30 AM



PEMILIK perniagaan makanan dan minuman (F&B) bersiap sedia 'ikat perut' selama sebulan lagi, dengan ada yang menjangkakan keadaan bertambah lebih buruk bagi perniagaan mereka sedang Singapura melanjutkan langkah-langkah keselamatan Covid-19 sehingga 21 November.



Beberapa peniaga F&B yang dihubungi Berita Harian (BH) semalam tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut dan kecewa mereka menyusuli pengumuman itu kelmarin, dengan rata-ratanya berkata mereka hanya mampu bertahan sehingga keadaan di negara ini bertambah baik.



Langkah pengurusan selamat, seperti had dua orang bagi semua perhimpunan sosial dan menjamu selera di luar, akan dilanjutkan sehingga 21 November sedang sistem penjagaan kesihatan terus menghadapi tekanan dalam usaha mengawal jangkitan Covid-19.



Demi membantu perniagaan yang terjejas, pemerintah akan menyediakan pakej sokongan $640 juta, yang termasuk sokongan gaji 25 peratus bagi sektor F&B, runcit serta bantuan sewa setengah bulan.



Pemilik restoran halal Italy Kucina, Cef Gero Di Maria Mohammed Omar, berkata beliau rasa amat kecewa dan tidak menjangkakan berita itu kerana telah mengharapkan pemerintah dapat kembalikan peraturan membolehkan lima orang duduk semeja menjamu selera.



"Secara jujurnya, perniagaan kami semakin teruk. Pendapatan kami sudah susut 70 peratus dan pelanggan pun tidak ramai. Tidak ada banyak yang boleh kami lakukan untuk meningkatkan pendapatan.



"Saya mungkin akan perlu menyuruh beberapa pekerja ambil cuti tidak berbayar kerana kami perlu kurangkan kos," kata beliau.



Walaupun pemerintah menyediakan bantuan, Cef Gero berkata bantuan itu mungkin tidak mencukupi dan ia harus dihulurkan dengan segera sedang perniagaan menghadapi cabaran menangani isu kos dan pendapatan pada masa sekarang.



Sementara itu, pemilik I Am Cafe, Encik Jamuri Busori, pula berkata hatinya "tenggelam" tatkala mendengar berita itu kerana perniagaannya sudah amat terjejas dengan peraturan dua pelanggan semeja yang dilaksanakan sejak bulan lalu.



"Sebenarnya, apabila pemerintah perluaskan skim VTL (Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin) kepada lebih banyak negara, kami berharap keadaan akan bertambah baik.



"Tetapi sekarang ia akan dilanjutkan untuk sebulan lagi. Kami faham keprihatinan mereka tidak mahu sistem hospital terus hadapi tekanan tetapi kami sudah terjejas teruk. Dengan lanjutan ini, saya tak tahu apa nak buat selain bertahan," kata beliau, yang merancang membuka dapur awan (kitchen cloud).



Dapur awan merujuk kepada tempat atau penyediaan makanan secara komersial dan berpusat dengan pelbagai jenama makanan untuk memenuhi pesanan makanan bagi perkhidmatan penghantaran sahaja.



Ini dilakukan melalui aplikasi tempahan makanan seperti GrabFood, foodpanda dan sebagainya tanpa memerlukan ruang makanan fizikal atau kaunter bawa pulang.



Encik Sufi Hassan, ketua pegawai operasi rangkaian kafe The Blackhole Group yang memiliki beberapa kafe seperti Afterwit dan Tipo, pula berkongsi pihaknya perlu merancang semula kewangan syarikat mereka kerana lanjutan langkah tersebut adalah berat untuk mereka.



"Ia sudah sampai ke tahap di mana kami perlu pertimbangkan kemungkinan menutup buat sementara waktu salah satu restoran yang kami miliki dan mengerahkan semula sumber untuk memberi tumpuan pada bahagian perniagaan lain bagi mengekalkan prestasi kumpulan kami," ujar beliau.



Turut melahirkan keprihatinan ialah pemilik bersama Hamidah's Kitchen @ Kaff Kafe, Cik Fadilah Abdul Majid, yang berkata perniagaan kafenya akan terus terjejas dengan lanjutan itu dan mereka akan perlu mengadakan lebih banyak promosi serta memberi tumpuan pada tempahan dalam talian.



Namun begitu, beliau berkata persaingan bagi pasaran dalam talian juga sengit dan pihaknya perlu mengawal kos untuk mengekalkan perniagaan.



Oleh itu, beliau mengalu-alukan pakej sokongan yang disediakan pemerintah, sambil menambah bahawa "tanpa bantuan itu, lebih banyak yang akan tutup kedai".



Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Farid Khan, berkata pakej sokongan yang disediakan pemerintah akan banyak memberi bantuan kepada perniagaan yang terjejas teruk, seperti dalam industri F&B dan runcit.



Beliau menambah bahawa sejak pandemik ini bermula, DPPMS telah memainkan peranan aktif dalam membantu perniagaan terjejas.



Ini termasuk membentuk Dana Peniaga Pintar untuk membantu anggotanya menangani cabaran Covid-19, dan mengadakan sesi pendekatan dalam beberapa bulan mendatang, seperti Dewan Connect dan Perbincangan@Dewan untuk anggota berkongsi cabaran perniagaan dan panduan.



Encik Farid berkata DPPMS menggalak perniagaan kekal tangkas dan terus menyesuaikan diri dengan amalan perniagaan baru, sambil mengambil peluang mempertingkat keupayaan perniagaan dengan mendakap pendigitalan dan menjalani transformasi untuk merangsang produktiviti.



"Ini bukan hanya memastikan perniagaan dapat bertahan di tengah-tengah langkah-langkah yang dilaksanakan, malah memastikan mereka bersedia bagi masa depan terhadap perubahan berterusan dalam tingkah laku pengguna," kata beliau.




PAKEJ SOKONGAN $640 JUTA 



1. PENINGKATAN SKIM BANTUAN PEKERJAAN (JSS)



Skim ini sediakan sokongan gaji untuk bantu perniagaan kekalkan kakitangan, akan dilanjut bagi sektor yang terjejas teruk oleh langkah diperketat.



Ia termasuk tempat makanan dan minuman (F&B), kedai runcit, panggung wayang, muzium, galeri seni, tapak bersejarah, tempat hiburan keluarga, sektor pelancongan, gimnasium dan studio kecergasan, sektor seni seni dan pendidikan seni.



Sektor tersebut akan terus terima sokongan gaji 25 peratus sehingga 21 November.



2. PELEPASAN SEWA



Pelepasan sewa separuh bulan akan diberikan kepada kumpulan berikut:



Penyewa hartanah komersial milik pemerintah yang layak



Pegerai makanan dimasak dan pasar di pusat makanan kendalian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau pengendali dilantik NEA



Penyewa-penghuni dan pemilik-penghuni hartanah komersial milik swasta yang layak. Mereka akan terima bayaran tunai pelepasan sewa di bawah Skim Bantuan Sewa (RSS).



3. LANJUTAN BAYARAN DANA BANTUAN PEMANDU COVID-19



Dana yang dilanjutkan ini, yang sepatutnya berakhir pada 30 November, akan menyediakan sokongan $10 bagi setiap kenderaan setiap hari pada November dan $5 bagi setiap kenderaan setiap hari pada Disember kepada pemandu teksi dan kereta sewa privet.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >