Subuh
5:56
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Setempat0

UMRAH PADA RAMADAN

Pakej umrah Ramadan tetap dapat sambutan

Bilangan jemaah kurang susuli cuti sekolah tidak sejajar dengan Ramadan
May 26, 2019 | 05:30 AM

BILANGAN jemaah yang menunaikan umrah sempena Ramadan tahun ini berkurangan, namun ejen penjualan (GSA) memberitahu Berita Minggu (BM) mereka tetap berpuas hati dengan sambutan yang diterima.

Menurut ejen-ejen tersebut, pengurangan itu telah dijangka dek musim cuti sekolah yang tidak jatuh pada Ramadan tahun ini - berbanding tahun lalu.

Tahun ini, cuti sekolah bermula pada 25 Mei bersamaan dengan 20 Ramadan.

Di samping itu, caj visa umrah sebanyak 2,000 riyal ($732) bagi jemaah yang mengerjakan umrah 'berulang' juga menjadi sebab bilangan jemaah yang berkurangan itu.

Malah trend sedemikian dijangka berterusan pada tahun-tahun mendatang memandangkan musim Ramadan dijangka bermula lebih awal - sehingga ada Ramadan jatuh pada musim peperiksaan.

Penurunan bilangan jemaah yang dialami GSA yang ditinjau BM berbeza-beza dengan ada yang melaporkan pengurangan hanya 10 peratus, manakala sebilangan lagi berkata jumlahnya turun sehingga 50 peratus.

Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, pemilik TM Fouzy Travel and Tours, berkata beliau mendapati pengurangan sekitar 50 peratus jemaah umrah Ramadan kali ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Awal tahun ini sahaja kami dapati tempahan berkurangan.

"Dan benar sekali, sehingga April lalu saya lihat tempahan amat berkurangan sekali tahun ini," katanya.

Beliau berkata tempahan umrah Ramadan tahun ini tidak melebihi 100 jemaah, berbanding sekitar 200 jemaah yang membuat tempahan umrah Ramadan dengan syarikatnya tahun lalu.

Ini termasuk tempahan bagi umrah Ramadan 'awal' dan 'akhir'.

Umrah Ramadan awal merupakan ibadah umrah yang dijalankan semasa Ramadan baru bermula, sementara umrah akhir merupakan ibadah yang berlangsung semasa Ramadan hampir di penghujung sehingga masuk awal Syawal.

Penurunan sedemikian juga dialami Noor Mohamad Services & Travel yang mendapati tempahan umrah Ramadan kali ini turun sehingga 10 peratus.

Sebab yang diberi juga ialah cuti sekolah yang jatuh tiga minggu selepas Ramadan serta caj visa umrah bagi jemaah berulang.

Salah seorang pegawai pentadbirannya, Ustaz Muhammad Shaheedan Sutari, berkata tempahan lebih banyak dibuat bagi umrah Ramadan akhir.

"Seperti yang dijangka, Ramadan akhir biasanya popular dalam kalangan jemaah yang ingin lakukan umrah.

"Dan ramai jemaah yang buat tempahan akhir Ramadan merupakan mereka yang berkeluarga juga," tambahnya.

Seorang lagi pemilik GSA yang meminta agar tidak disiarkan namanya, turut mengalami pengurangan tempahan.

Meskipun jumlah kumpulan yang berangkat Ramadan ini tetap tiga, jumlah jemaah berkurangan sehingga 20 peratus, katanya.

Selain cuti sekolah dan caj visa, beliau turut menganggap kos pakej yang tinggi akibat harga hotel yang dikenakan, menjejas tempahan kali ini.

"Bayangkan harga hotel sahaja boleh cecah lebih $10,000 bagi akhir Ramadan.

"Sudah pasti ini akan jejas permintaan," katanya.

Namun, tidak semua GSA yang mengalami kekurangan tempahan.

Pengurus Shahidah Travel & Tours, Cik Rosila Salim, berkata terdapat pertambahan sedikit dalam kalangan jemaah syarikat itu yang membuat tempahan umrah Ramadan kali ini.

Meskipun harga pakej dianggar naik sekitar 5 peratus, jumlah jemaahnya yang melakukan umrah akhir Ramadan kali ini dianggar melonjak sehingga 50 peratus, katanya.

"Ada jemaah berulang yang tidak peduli dengan caj visa tersebut," katanya lagi.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map