SEBUAH pameran baru yang menunjukkan perubahan sekitaran di Singapura sejak 400 tahun lalu sedang berlangsung di Perpustakaan Negara.
Pameran Humans x Nature: Environmental Histories of Singapore (Manusia x Alam Semula Jadi: Sejarah Sekitaran Singapura) itu diadakan sedang warga tempatan kian menunjukkan minat terhadap alam sekitar dan memuatkan lebih 150 buku, peta, ilustrasi dan spesimen.
Bahan-bahan itu, antara lain, menunjukkan cara sekitaran di sini rosak angkara penjajahan dan kapitalisme dan usaha yang diambil untuk memulihkannya.
Ia juga menampilkan cerita saksi kuli yang rakan kerjanya diserang harimau.
Pameran itu berlangsung hingga 26 September.
Kurator bersama Georgina Wong berkata beliau tertarik akan sikap pemikiran Wild West pada masa lalu.
"Cara alam sekitar dikaji pada waktu lalu seolah-olah ia dianggap sebagai tempat baru yang tiada undang-undang, tiada peraturan yang boleh dilihat dengan membaca akaun orang Eropah yang melakukan ekspedisi memburu dan menjerat hidupan," ujar beliau.
"Apa sahaja boleh berlaku kerana manusia dan alam sekitar begitu terhubung rapat.
"Pada masa ini, kebanyakan kita mendewasa di bandar, jadi kebanyakan alam sekitar yang kita lalui adalah di hutan simpanan atau taman... tapi lokasi semua hutan simpanan kita berdasarkan apa yang berlaku pada masa lalu.
"Adalah baik untuk mengalaminya dengan pengetahuan konteks sejarah," tambah beliau.
Antara yang dipamer ialah anak tapir, yang disimpan sebagai haiwan peliharaan selama enam bulan oleh Residen Britain Pertama di Singapura William Farquhar.
Beliau menggunakan haiwan itu untuk mengkaji jenis tapir yang baru ditemui di Melaka dan berkata beliau telah memberinya makan apa sahaja, termasuk sayur, roti dan kek.
Pengunjung ke pameran itu juga boleh menambah pengetahuan mengenai Encik Henry Corner, bekas penolong pengarah Kebun Bunga Singapura dan dua monyet yang dipeliharanya.
Dinamakan Puteh dan Merah, monyet-monyet itu dilatih supaya membantunya mengumpulkan contoh tanaman dan diumpan dengan minuman lemonad.
Cik Wong berkata kebanyakan bahan pameran itu dari era penjajahan diambil dari sumber Barat, tetapi para kurator berusaha menunjukkan ilmu yang bersumber daripada orang tempatan.
Sebagai contoh, pameran itu menampilkan senarai ubat-ubatan yang ditulis oleh seorang pakar tanaman dari Eropah dan seorang Melayu yang pakar dalam perubatan menggunakan tanaman.
Kededua pakar itu menggunakan campuran nama Melayu dan Latin untuk menyiapkan senarai tersebut, yang berjudul The Gardens's Bulletin Straits Settlements (Buletin Negara-Negara Selat Tuang Kebun).
Dalam pada itu, video ringkas yang menunjukkan budaya Orang Laut yang disiapkan oleh keturunan mereka juga dipamerkan.
Encik Firdaus Sani, yang keluarganya antara Orang Laut terakhir di Pulau Semakau, berkata pengetahuan keluarganya itu adalah unik.
"Ini termasuk pengetahuan kami tentang laut, cara mengeluarkan racun dari ikan buntal atau cara menangkap ketam adalah istimewa.
"Apabila suara kami dipamerkan, kami rasa kami juga sebahagian daripada Singapura," ujar Encik Firdaus.