SATU pameran 'pop-up' baru di Muzium Tamadun Asia (ACM) berharap dapat mengetengahkan komitmen muzium untuk bekerjasama dengan masyarakat peranakan yang pelbagai bagi memupuk pemahaman ramai tentang budayanya yang bertenaga.
Dengan kerjasama masyarakat peranakan setempat, pameran, Apa Khabair? - Muzium Peranakan dalam Pembuatan, merupakan satu imbauan kembali istimewa kepada muzium masa lalu serta memaparkan seni dan budaya peranakan.
Membuka pintunya kepada orang ramai hari ini, pengunjung boleh menerokai dunia masyarakat peranakan dalam pelbagai bahagian sebelum pembukaan rasmi Muzium Peranakan pada separuh pertama 2023.
Antaranya termasuk pameran sebanyak 17 artifak seperti bekas tembikar, pusaka yang dibuat secara halus dan karya seni yang menggambarkan cara hidup masyarakat peranakan di sini, yang sebahagiannya pertama kali dipamerkan.
Sejurus sahaja memasuki pameran itu, pengunjung dapat melihat kereta yang menjadi sumber pengangkutan dari abad ke-19.
Menurut ACM, kereta kayu yang jarang ditemui itu digunakan sebagai sebahagian daripada upacara peranakan kaum Cina yang dikenali sebagai Tedun - petanda tahun pertama seseorang anak itu atau apabila dia mula berjalan.
Di samping itu, ia turut menampilkan kempen yang pernah dipaparkan di wadah media sosial Muzium Peranakan.
Pameran itu juga membawa karya virtual ke dalam ruang fizikal, berlatar rakan kongsi masyarakat dan maklumat baru tentang budaya dan kehidupan masyarakat itu.
Melalui siri video, I Say You Do, ia mengetengahkan bagaimana golongan pakar berkongsi ilmu tentang kraf atau amalan masyarakat peranakan.
Dengan itu, ia sekali gus mendedahkan aspek peranakan kepada golongan amatur dan penonton.
Video-video itu memaparkan amalan dan kraf tradisional seperti membakar biskut ma'amoul dan kopiah serta cara memakai sarung kebaya dengan betul.
Pameran tersebut turut memaparkan garis waktu bagaimana bangunan Sekolah Tao Nan telah diubah suai untuk menjadi Muzium Peranakan.
Semasa ditemui oleh Berita Harian di ACM semalam, kurator kanan ACM dan Muzium Peranakan, Cik Noorashikin Zulkifli, berkata beliau berharap pameran yang ditawarkan bukan hanya dapat meningkatkan pengetahuan ramai malah dapat mencetuskan perbualan lebih mendalam.
"Peranakan adalah fenomena budaya yang merupakan DNA kita di sini.
"Maka adalah penting bagi orang ramai untuk datang melihat pameran ini, dan mencetuskan minat apa yang dipamer adalah sesuatu yang dikenali ramai, mungkin dari segi makanan atau amalan.
"Ia adalah sesuatu yang patut kita dakap," ujarnya.