Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Pengajaran daripada usaha Singapura lindung alam sekitar, kawal pencemaran

Apr 22, 2018 | 05:30 AM



SAYA terkenang kembali ucapan seorang menteri sekitaran negara Arab apabila terdengar Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, bercakap tentang kerja di kementeriannya.



Encik Masagos Zulkifli memberi penjelasan terperinci mengenai prestasi kementeriannya dalam menangani masalah pengurusan sumber, perlindungan alam sekitar dan kawalan pencemaran di pulau kecil ini, manakala menteri Arab berkenaan hanya mengongsi mengenai keinginan dan berbagai-bagai pertemuan serta laporan.



Pembangunan tidak berlaku dengan secara kebetulan, tetapi merupakan hasil kumulatif kegigihan dan perancangan yang baik. Walaupun Kementerian Sekitaran merupakan sekadar hadiah sagu hati untuk seseorang yang tidak layak bagi portfolio yang lebih baik di kebanyakan negara Arab, ia merupakan salah sebuah kementerian asas bagi membentuk masa hadapan sebuah negara.



Singapura mengisytiharkan 2018 sebagai Tahun Tindakan Iklim.



Sebagai sebahagian daripada daya usaha tersebut, Singapura menganjurkan satu pertemuan dengan pengarang dan pakar yang terlibat dalam persiapan World Environment Outlook yang akan dikeluarkan oleh Program Alam Sekitar Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun hadapan.



Pemilihan tempat ternyata sejajar dengan tema mesyuarat tersebut kerana Singapura sememangnya merupakan contoh yang jelas akan bagaimana sebuah negara dapat menangani cabaran alam sekitar dalam keadaan semula jadi yang sukar, di samping meningkatkan kesejahteraan penduduknya.



Singapura mempunyai kawasan seluas 712 kilometer persegi, menjadikannya 15 kali lebih kecil daripada Lebanon, dan lebih kecil daripada Bahrain yang merupakan salah sebuah negeri pulau terkecil di dunia.



Namun begitu, Singapura mempunyai 5.6 juta penduduk iaitu 30 peratus lebih tinggi daripada Lebanon, dan empat kali lebih besar daripada Bahrain.



Walau bagaimanapun, kepadatan penduduk ini tidak menghalang pulau Singapura, yang mempunyai sumber asli terhad, daripada mencapai beberapa kadar pertumbuhan tertinggi di dunia.



Dalam pada itu, Singapura juga berjaya mengimbangi kemajuan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar di samping menyediakan penduduknya dengan taraf hidup yang tinggi.



Malah, Singapura turut mempunyai keluaran dalam negeri kasar per kapita yang melebihi $53,000, menjadikannya antara yang tertinggi di dunia dan lebih tinggi daripada semua negara Arab kecuali satu.



Singapura juga merupakan sebuah bandar unik dan canggih.



Ia sebuah bandar dalam taman, dengan kawasan hijau tidak terhad kepada taman-taman besar sahaja, malah menjangkau ke tepi jalan yang dipenuhi pokok-pokok lebih daripada 3,500 kilometer panjang.



Singapura menduduki tempat kedua di dunia dari segi kawasan hijau, dengan sekitar 30 peratus daripada tanah dilindungi oleh pokok-pokok. Ia didahului oleh bandar Tampa di Amerika Syarikat dengan sekitar 36 peratus daripada tanah dilindungi oleh pokok-pokok.



Sebilangan kecil air tawar di Singapura pula berasal daripada proses penyahgaraman. Lantaran itu dari manakah pulau terkunci itu mendapat bekalan air?



Setiap air hujan yang jatuh di bumbung dan jalan raya yang berturap akan dikumpul serta dipam ke dalam takungan air terbuka yang besar.



Selain daripada program pencegahan pencemaran air yang ketat, kesemua air buangan dan kumbahan turut dirawat dan digunakan semula.



Singapura juga mengitar semula sebanyak 57 peratus sisa, dan membuang 43 peratus sisa di mesin pembakar atau insinerator moden.



Pada masa yang sama, Singapura memiliki sebuah pulau kecil yang diperuntukkan bagi mengubur abu insinerator dan sisa kitar semula.



Tambahan pula, Singapura kini sedang menjalankan pelan mengurangkan jumlah sisa sehingga ke tahap 'sisa sifar', atau 'zero waste', dalam tempoh 20 tahun.



Sementara itu, pengunjung luar negara ke Singapura berasa terkejut dengan kekurangan kesesakan lalu lintas di negara yang padat penduduknya itu.



Hal ini berlaku akibat rangkaian pengangkutan awam yang berkesan yang membolehkan ramai daripada penduduk Singapura bergerak tanpa menggunakan kereta sendiri.



Malah, ketua Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) turut menaiki bas awam untuk menghadiri mesyuarat kami.



Pengurusan sumber asli dan perlindungan alam sekitar tidak terbatas pada sekatan pencegahan sahaja, bahkan termasuk daya usaha bagi amalan yang baik.



Daya usaha tersebut juga disokong oleh program penyelidikan dan pengembangan (R&D) saintifik yang berkesan yang menjadikan Singapura sebagai peneraju dalam bidang R&D.



Matlamat bagi kesemua daya usaha dan program itu tidak akan tercapai tanpa dasar rasional yang telus dan bertanggungjawab.



Ini jelas dengan kedudukan Singapura yang sangat maju dalam Indeks Rasuah Antarabangsa.



Singapura meraih kedudukan keenam antara 180 negara teratas, sejurus selepas Switzerland, dan melebihi negara-negara seperti Sweden, Canada, Belanda dan Jerman.



Terdapat banyak pelajaran yang berguna daripada pengalaman Singapura yang boleh diraih oleh menteri negara Arab terutama sekali yang menggabungkan cita-cita dengan perancangan dan realisme.



Oleh sebab pembangunan Singapura bergantung pada perancangan yang baik, negara itu mengakui bahawa pencapaian pertumbuhannya terbatas dengan adanya bekalan sumber semula jadi yang terhad.



Singapura tidak dapat lagi meneruskan proses penambakan tanah dengan menuntut semula laut disebabkan oleh kekangan semula jadi serta isu-isu kedaulatan yang berkaitan dengan hak kelautan dengan negara-negara jiran.



Tambahan pula, Singapura masih memerlukan kawasan yang belum dibina yang masih ada bagi mengekalkan penutupan hijau dan menyimpan takungan air tawar.



Oleh itu, pelan masa hadapan Singapura tertumpu pada mengehadkan pertumbuhan penduduk di samping meningkatkan kesejahteraan mereka.




Penulis setiausaha agung Forum Arab bagi Alam Sekitar dan Pembangunan, dan ketua pengarang majalah 'Al-Bia Wal-Tanmia' (www.afedmag.com).



Rencana ini disiarkan di 'The Daily Star', Lebanon, baru-baru ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >