Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pandangan serong tidak hambat jururawat lelaki

Jul 30, 2022 | 05:30 AM



SEJAK belajar untuk menjadi jururawat, Encik Muhammad Rizam Abdul Rahman sedar terdapat pandangan serong terhadap jururawat lelaki.



Apabila pulang dari sekolah memakai pakaian seragam jururawat pelajar, beliau dapat berasa orang sekelilingnya memandang rendah padanya dan menyangka beliau lelaki lembut.



Justeru apabila Encik Rizam, 29 tahun, mula bekerja sebagai jururawat di Hospital Alexandra (AH) empat tahun lalu, beliau sedar ada sedikit cabaran baginya melaksanakan tugasnya.



Namun, jururawat staf kanan di wad rehabilitasi itu tidak membiarkan tanggapan negatif terhadapnya menjejas pekerjaannya.



"Saya kembali kepada apa yang saya mahu lakukan, iaitu mencipta kesan positif. Saya percaya kejururawatan adalah satu tugas mulia.



"Saya mahu dan suka menolong orang," kata Encik Rizam yang berkelulusan Nitec dalam kejururawatan dan diploma sains kesihatan dalam kejururawatan.



Beliau antara jururawat AH yang mengongsi cabaran yang dihadapi mereka sebagai jururawat lelaki dalam buku Missy Reflections II.



Encik Rizam, antara 13 peratus jururawat lelaki di AH, mengongsi kisah seorang pesakit yang menolak penjagaannya dengan berkata, "saya tak mahu awak".



"Mungkin mereka melihat saya dan berpendapat saya tidak seperti jururawat wanita yang lembut dan penyayang. Mereka mungkin fikir sebagai jururawat lelaki, saya kasar dan tidak ada belas kasihan," katanya.



Walaupun berasa kecil hati, Encik Rizam menangani pesakit demikian dengan menunjukkan penjagaan baik dan kasih sayang kepada pesakit lain di sekelilingnya.



"Apabila mereka melihat cara saya bekerja, cara saya melayan pesakit lain, hati mereka perlahan-lahan terbuka untuk membenarkan saya menjaga mereka juga.



"Saya boleh menjadi jururawat lembut dan penyayang, tetapi jururawat juga perlu tegas apabila pesakit tidak mahu makan ubat atau menjalani terapi," ujarnya, yang menemui pesakit sedemikian sekitar sekali dalam sebulan.



Encik Rizam juga berkata beliau sering menerima soalan daripada pesakit tentang alasan beliau memilih menjadi jururawat.



Anak ketiga dalam empat adik-beradik itu berkata sejak mula menyertai jurusan kejururawatan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), beliau mahu membawa kesan positif dalam kehidupan orang lain, dan ini tidak semestinya menyelamatkan nyawa saja, sebaliknya termasuk mengemas katil pesakit dan menuang air dalam cawan mereka.



"Saya lihat kini semakin ramai jururawat lelaki. Salah satu manfaat mempunyai jururawat lelaki ialah kekuatan fizikal kami. Pesakit kadangkala perlu dipindahkan ke kerusi roda dan jururawat lelaki dapat membantu.



"Kami juga memainkan peranan penting dalam penjagaan pesakit yang mengalami strok atau kecederaan otak dan lumpuh di sebahagian badan atau seluruh badan.



"Kami juga dapat membantu menangani pesakit yang mempunyai sejarah isu kesihatan mental dan mungkin bertindak ganas. Saya sering dipanggil untuk membantu pesakit sedemikian," kata Encik Rizam, yang biasanya menguruskan pesakit lelaki.



Beliau berharap dengan perkongsiannya serta jururawat lelaki lain dalam buku Missy Reflections II, orang ramai akan lebih terbuka melihat jururawat lelaki menyumbang dalam bidang yang lebih banyak diceburi wanita itu.



Kisah-kisah itu juga diharap dapat mengubah sebarang salah tanggapan yang mereka ada tentang jururawat lelaki selama ini.




"Saya kembali kepada apa yang saya mahu lakukan, iaitu mencipta kesan positif. Saya percaya kejururawatan adalah satu tugas mulia. Saya mahu dan suka menolong orang... Mungkin mereka melihat saya dan berpendapat saya tidak seperti jururawat wanita yang lembut dan penyayang. Mereka mungkin fikir sebagai jururawat lelaki, saya kasar dan tidak ada belas kasihan. Apabila mereka melihat cara saya bekerja, cara saya melayan pesakit lain, hati mereka perlahan-lahan terbuka untuk membenarkan saya menjaga mereka juga."
- Encik Muhammad Rizam Abdul Rahman, mengenai orang dan pesakit yang memandang rendah terhadap jururawat lelaki sepertinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >