Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Pandemik ajar jururawat peri penting semangat sepasukan

Jul 13, 2022 | 05:30 AM



Anugerah Merit Jururawat telah diberikan kepada 125 jururawat di satu majlis baru-baru ini, bagi mengiktiraf jururawat yang menampilkan prestasi yang cemerlang dan luar biasa, menyertai usaha pembangunan profesional serta menyumbang kepada usaha mempertingkat kerjaya jururawat. BERITA HARIAN memaparkan dua penerima anugerah tersebut, serta usaha mereka untuk mempertingkatkan bidang kejururawatan serta memberi penjagaan terbaik kepada pesakit.



SEBAGAI seorang jururawat klinisian kanan, tugas Cik Mastura Abdullah termasuk sebagai pengurus dan penyelia kepada lebih 60 jururawat dalam pasukannya.



Beliau memantau penjagaan lebih 50 katil pesakit dalam wad unit perubatan dan pembedahan di Hospital Raffles, dan turut mendengar keprihatinan atau menjawab soalan ahli keluarga mereka.



Dengan tanggungjawab berat itu dan setelah 27 tahun menabur bakti sebagai jururawat, Cik Mastura tetap melangkah dengan penuh semangat dan keghairahan ke tempat kerja setiap hari.



"Saya sukakan pekerjaan saya. Setiap hari selepas syif, saya merasa puas. Saya gembira walaupun saya hanya menerima ucapan 'terima kasih kerana membantu kami' daripada pasukan saya. Saya gembira melihat mereka pulang dari kerja dengan senyuman di wajah mereka. Ucapan terima kasih daripada pesakit juga cukup membuat saya gembira," kata Cik Mastura, 45 tahun.



Namun ini tidak bermakna tugasnya tidak mempunyai cabaran, katanya yang telah enam tahun berkhidmat di Hospital Raffles.



Dalam tempoh pandemik Covid-19 yang bermula pada 2020, Cik Mastura dan pasukannya perlu menghadapi perubahan dasar dan peraturan, terutama dalam tempoh awal wabak itu.



Maklumat baru yang diterima perlu segera disebarkan kepada kakitangan supaya apa yang diperlukan dapat disediakan.



Apabila wadnya menerima pesakit yang kemudian disahkan positif Covid-19, mereka segera dipindahkan ke ruang khas untuk penjagaan yang sesuai.



Pembedahan yang boleh ditangguhkan juga ditunda dan hanya pembedahan kecemasan diteruskan.



Apabila jururawat dijangkiti Covid-19 dan tidak dapat ke kerja, pasukan mereka terjejas tetapi perlu terus melakukan tanggungjawab mereka, kata Cik Mastura.



"Jururawat lain mengambil alih tugas jururawat yang terjejas, malah turut melakukan syif tambahan bagi memastikan wad dapat terus berfungsi. Ia memenatkan tetapi kami bekerjasama. Kami mempunyai sokongan baik daripada penyelia dan keseluruhan pasukan. Kami cuba menceriakan satu sama lain," katanya.



Walaupun keadaan lebih baik kini, Cik Mastura berkata pasukannya tidak menjadi leka dan mengambil mudah.



"Kerja sepasukan adalah yang paling penting untuk mengatasi apa sahaja cabaran yang mendatang. Dengan pengalaman yang kami lalui sebelum ini, saya yakin kami boleh mengatasi apa sahaja," tambahnya.



Cik Mastura percaya apabila beliau melakukan yang terbaik dalam pekerjaannya, ia bukan hanya untuk dirinya sendiri malah untuk pasukannya.



Beliau menekankan tentang perlunya jururawatnya merasakan yang diri mereka penting dan diperlukan.



"Walaupun kami mempunyai sokongan awam, kadangkala perkara negatif menjejas kami juga. Sebagai ketua mereka, saya harus menjadi contoh bagi mereka. Jika ada perkara yang tidak kena, saya pastikan saya ada di situ dengan mereka dan bukan hanya memberitahu mereka apa yang patut dilakukan dan apa yang diharapkan daripada mereka," kata Cik Mastura.



Beliau turut menyifatkan dirinya sebagai bersikap proaktif dalam membuat perubahan bagi memperbaiki bidang kejururawatan.



"Jika saya lihat ada cara berkesan yang dilaksanakan di tempat lain, saya akan sarankan untuk mencubanya di wad atau hospital tempat saya bekerja. Ini kerana matlamat saya adalah untuk melihat bidang kejururawatan maju," katanya.




"Kerja sepasukan adalah yang paling penting untuk mengatasi apa sahaja cabaran yang mendatang. Dengan pengalaman yang kami lalui sebelum ini, saya yakin kami boleh mengatasi apa sahaja."



- Cik Mastura Abdullah, jururawat klinisian kanan, Hospital Raffles.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >