KEMENTERIAN Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) akan menerbitkan satu panduan mengenai cara hukuman dijatuhkan dalam sistem keadilan jenayah Singapura, untuk mendidik masyarakat mengenai proses tersebut.
Panduan itu akan menangani persoalan seperti faktor yang dipertimbangkan oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman, dan menjelaskan bahawa kelayakan pendidikan tidak secara automatik dikaitkan dengan kecenderungan pelaku untuk berubah, misalnya.
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam mengumumkan penerbitan panduan itu di Parlimen semalam, sebagai sebahagian daripada semakan pemerintah mengenai rangka kerja hukuman untuk kesalahan seksual dan mencedera.
Panduan itu disiapkan dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Persatuan Undang-Undang, dan akan dimuat naik ke laman MHA, MinLaw dan AGC, kata Encik Shanmugam.
Panduan tersebut merangkumi gambaran umum mengenai sistem peradilan jenayah, termasuk tujuannya, ciri-ciri serta asas proses berkenaan.
Ia menetapkan prinsip-prinsip yang dipertimbangkan oleh pengadilan dalam menentukan hukuman yang sesuai: pencegahan, pemulihan, serta hukuman yang setimpal.
Selain itu, Encik Shanmugam turut mengumumkan satu panel penasihat baru yang akan dibentuk untuk mencapai konsistensi dari segi hukuman.
Fungsi utama Panel Penasihat Hukuman itu adalah untuk menerbitkan panduan hukuman yang akan bersifat meluas tetapi mahkamah tidak akan terikat dengannya.
Panduan itu juga akan memberi lebih penjelasan kepada orang awam mengenai hukuman yang boleh dijangkakan dan faktor yang relevan dalam memberi hukuman.