Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Panel bincang kaitan Seksyen 377A dengan perlembagaan

Sep 27, 2022 | 05:30 AM



RISIKO Seksyen 377A, yang menyifatkan seks antara lelaki sebagai satu jenayah, dicabar lalu digugurkan di mahkamah pada masa depan, dan kesan sampingannya kepada undang-undang lain merupakan antara topik yang diketengahkan anggota panel di sebuah sesi perbincangan semalam.



Panel yang disertai Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, bersama empat pengamal dan ahli akademik undang-undang, juga mengemukakan hujah bahawa sebarang perubahan undang-undang wajar diketengahkan di Parlimen dan bukan di mahkamah.



Memberikan ucapan sebelum perbincangan bermula, Encik Shanmugam menjelaskan sebab pemerintah mahu memansuhkan Seksyen 377A.



Merujuk kepada ucapan Rapat Hari Kebangsaan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong tentang pemansuhan Seksyen 377A, beliau berkata:



"Pertama, memansuhkan Seksyen 377A adalah perkara yang betul untuk dilakukan."



Undang-undang perlu dipinda di Parlimen bukan di mahkamah: Panel



"Kita tidak seharusnya menjadikan ia satu jenayah apa yang orang lakukan dalam privasi bilik tidur mereka dan memansuhkan Seksyen 377A akan memberikan sedikit kelegaan kepada individu homoseksual.



"Kedua, pemerintah telah dinasihatkan bahawa terdapat risiko undang-undang besar bahawa Seksyen 377A boleh dimansuhkan mahkamah dalam cabaran masa depan. Dan beliau (Encik Lee) mendedahkan Peguam Negara dan saya telah menasihatinya mengenai perkara itu," kata beliau.



Sebelum ini beberapa individu telah mengemukakan cabaran ke atas Seksyen 377A di mahkamah atas hujah ia bercanggah dengan perlembagaan negara. Mahkamah telah menolak cabaran tersebut namun dalam kes Tan Seng Kee, Mahkamah Rayuan memberi saranan jelas bahawa Seksyen 377A mungkin bercanggah dengan perlembagaan.



Encik Shanmugam juga menekankan lagi bahawa sebarang perubahan undang-undang harus dibahaskan di Parlimen dan bukanya di mahkamah, sambil berkata "sekiranya Parlimen gagal dalam tanggungjawabnya untuk melakukan apa yang betul, maka mahkamah akan perlu melakukan apa yang mereka tidak ingin lakukan".



Ahli panel lain dalam sesi perbincangan itu ialah Presiden Persatuan Guaman Singapura, Encik Adrian Tan; Dekan Sekolah Undang-Undang, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Leslie Chew; Pengarah Pusat Pengajian Undang-Undang Asia di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Jaclyn Neo; dan Profesor Michael Hor dari Fakulti Undang-Undang Universiti Hong Kong.



Moderator sesi itu ialah Dekan Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Lee Pey Woan.



Sesi perbincangan itu dianjurkan bersama oleh Akademi Undang-Undang Singapura dan Persatuan Guaman Singapura di auditorium The Treasury semalam.



Turut hadir di sesi itu semalam ialah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam.



Beberapa ahli panel sesi perbincangan itu berkata isu Seksyen 377A itu perlu dibahas dan dibincangkan di Parlimen memandangkan ia bukan hanya melibatkan perkara undang-undang, namun juga aspek masyarakat.



Presiden Persatuan Guaman Singapura, Encik Tan, berkata sekiranya perubahan undang-undang dilakukan di Parlimen, prosesnya "lebih kemas" kerana badan perundangan bukan hanya meminda undang-undang, namun memastikan semua perkara lain "dalam harmoni" dan seluruh prosesnya telus.



"Jika anda mengubah sesuatu di mahkamah, ia agak kejam. Mahkamah tidak akan berkata apabila saya mansuhkan undang-undang ini, saya akan lihat pada 10 undang-undang lain yang mungkin merujuk kepadanya.



"Mahkamah hanya akan mansuhkan undang-undang, dan kemudian membiarkan yang lain.



"Oleh itu, pada pandangan peribadi saya, ia satu cara yang tidak teratur untuk membuat perubahan dalam masyarakat," kata beliau.



Sementara itu, Profesor Hor, dalam berkongsi pandangannya, mengaitkan Seksyen 377A dengan undang-undang jenayah dan sivil serta implikasinya terhadap individu.



"Saya diberitahu... bahawa pemilik rumah, malah mungkin Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), berkuasa membatalkan kontrak penyewaan bagi kegiatan haram.



"Bukan soal pendakwaan (jenayah), namun bolehkah pemilik rumah mengusir penyewa rumah disebabkan kegiatan Seksyen 377A kerana ia kekal haram?," kata beliau.



Antara lain, panel perbincangan juga menggesa agar kesedaran lebih luas mengenai pengetahuan perlembagaan dapat dipupuk dalam kalangan rakyat Singapura.



Dalam penutup sesi perbincangan itu, moderator, Profesor Lee, berkata beliau menghargai usaha yang dilakukan pemerintah dalam menangani Seksyen 377A walaupun ia satu isu yang mencabar.



Beliau menambah bahawa Singapura mempunyai peluang untuk melakarkan huraian yang unik kepada negara ini.



"Harapan saya adalah kita akan dapat membentuk huraian yang tidak memecahbelahkan masyarakat, menyatukan rakyat kita, dan pada masa yang sama, memanfaatkan sepenuhnya ruang individu dan juga bersama kita," kata beliau.




"Harapan saya adalah kita akan dapat membentuk huraian yang tidak memecahbelahkan masyarakat, menyatukan rakyat kita, dan pada masa yang sama, memanfaatkan sepenuhnya ruang individu dan juga bersama kita."
- Profesor Lee Pey Woan, Dekan Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU). 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >